MEF: Majikan tak wajar salah guna Pelan Kelonggaran Pengambilan Pekerja Asing hingga rugikan pekerja tempatan

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata pihaknya bimbang dengan tindakan beberapa majikan yang memberhentikan pekerja tempatan selepas mendapat kuota kelulusan menggaji pekerja asing.

KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata pihaknya bimbang dengan tindakan beberapa majikan yang memberhentikan pekerja tempatan selepas mendapat kuota kelulusan menggaji pekerja asing.

Kata beliau, memandangkan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar telah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu MEF berpandangan bahawa tindakan sewajarnya harus diambil terhadap majikan tersebut.

“Rakyat Malaysia adalah keutamaan untuk diambil bekerja bagi jawatan kosong dan tiada kompromi untuk memberi keutamaan kepada rakyat Malaysia untuk diambil bekerja terlebih dahulu. Buruh asing akan diambil bekerja di mana rakyat Malaysia tidak mahu mengisi kekosongan tersebut,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MEF tidak teragak-agak untuk mengesyorkan kepada Kementerian Sumber Manusia supaya tindakan tegas diambil terhadap majikan yang melanggar Seksyen 60 M Akta Pekerjaan 1955.

Seksyen 60M EA memperuntukkan bahawa tiada majikan boleh menamatkan kontrak perkhidmatan seseorang pekerja tempatan bagi tujuan menggaji pekerja asing.

“MEF menyokong pendirian Kementerian Sumber Manusia bahawa bagi kes sedemikian, kuota yang diluluskan untuk membawa pekerja asing akan dibatalkan.”

Bagaimanapun katanya, MEF tidak pasti sama ada majikan terbabit adalah ahli MEF.

“MEF sedang ditujukan kepada ahli MEF. MEF percaya bahawa pengalaman ini mungkin daripada majikan lain yang bukan ahli MEF. Bagaimanapun, MEF menyokong tindakan Kementerian Sumber Manusia,” kata beliau.

Beliau juga berkata, majikan tidak seharusnya menyalahgunakan Pelan Kelonggaran Pengambilan Pekerja Asing sehingga merugikan pekerja tempatan.