Rafizi: Kerajaan bakal umum skim kurangkan beban rakyat tanpa sentuh KWSP

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan akan mengumumkan langkah lebih sesuai untuk mengurangkan beban hidup rakyat tanpa pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan langkah lebih sesuai untuk mengurangkan beban hidup rakyat tanpa pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ia akan diumumkan Belanjawan 2023 yang akan diumumkan akhir bulan ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, perkara itu termasuk peluang menjana pendapatan tambahan kepada golongan B40.

“Ada beberapa (langkah) yang akan diumumkan. Dalam masa terdekat kita menunggu pengumuman belanjawan sebab kita tidak boleh nak umum dahulu sehingga belanjawan itu diumumkan.

“Ini termasuk contohnya membuka peluang kepada golongan B40 ke bawah untuk menjana pendapatan tambahan,” kata beliau.

Pada masa sama, kata beliau, melalui kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12, kerajaan mula melihat kepada dasar-dasar dan program yang boleh meletakkan sasaran pertumbuhan gaji kerana ia tidak boleh melihat kepada kos sara hidup semata, tetapi perlu ada kerangka dasar yang jelas untuk tempoh dua hingga lima tahun akan datang untuk memastikan kenaikan gaji tidak diserahkan semata-mata kepada pasaran.

“Jadi di peringkat kami, cuma jangka sederhana dan panjang,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri Dialog Strategik Bersama Menteri Ekonomi: Pemerkasaan Industri Untuk Memacu Pertumbuhan Ekonomi Dalam Era Revolusi Perindustrian Keempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) di sini, semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan sedang mencari jalan yang lebih sesuai bagi mengurangkan beban rakyat tanpa mengeluarkan simpanan KWSP.

Jelasnya, simpanan KWSP itu adalah perkara yang penting bagi mengelakkan rakyat ditimpa kesusahan apabila tiba masa bersara kelak.