KUALA LUMPUR: Maybank meraih keuntungan bersih RM1.96 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021, melonjak lebih sekali ganda berbanding RM941.7 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.
Menurut institusi perbankan keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset itu, untung bersih yang diraih pada suku dikaji lebih baik disokong peningkatan pinjaman dan margin faedah bersih (NIM).
Prestasi kewangan pada suku itu bagaimanapun dibayangi penyusutan pendapatan kepada RM11.34 bilion, berbanding RM11.8 bilion yang diraih semasa suku sama tahun lalu.
“Prestasi kewangan Maybank juga disokong pinjaman yang terus meningkatkan dan NIM berkembang daripada gabungan pendanaan lebih cekap serta kemerosotan lebih rendah yang ditanggung bank berbanding tahun sebelumnya,” kata bank tersebut.
Keuntungan sebelum cukai bagi tempoh suku kedua juga lebih tinggi kepada RM2.73 bilion daripada RM1.26 bilion tempoh sama tahun lalu.
Kumpulan perbankan itu turut mencatat pertumbuhan pendapatan bersih operasi stabil pada suku dikaji kepada RM6.17 bilion, menokok 9.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.