Citibank jual Operasi Perniagaan Produk: NUBE gesa Bank Negara, MoF lindungi hak pekerja Malaysia

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon (kanan) mahu pihak berkuasa tempatan bertindak dengan “segera dan tegas” untuk memastikan Citibank menghormati hak dan kepentingan pekerja di Malaysia ekoran tindakannya mahu menjual Operasi Perniagaan Produk.

KUALA LUMPUR: Susulan langkah Citibank untuk menjual Operasi Perniagaan Pengguna bank itu, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menggesa pihak berkuasa tempatan bertindak dengan “segera dan tegas” untuk memastikan bank tersebut menghormati hak dan kepentingan pekerjanya.

“Pihak berkuasa iaitu Bank Negara dan Kementerian Kewangan mesti bertindak dengan segera dan tegas untuk merintang pelabur asing daripada membawa keluar kekayaan yang dijana di Malaysia oleh rakyat Malaysia sendiri tanpa diagihkan secara saksama serta bermaruah kepada pihak berkepentingan yang selama ini menjadi pemangkin kepada keuntungan,” kata Setiausaha Agung NUBE, J Solomon.

Dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini, beliau berkata, selepas menjana kekayaan Malaysia sejak 63 tahun lalu daripada pelanggan-pelanggan Malaysia, Citibank memutuskan untuk menjual Operasi Perniagaan Pengguna bank itu pada tahun 2021 sebagai usaha penyegaran strategi bank.

Katanya, Citibank juga telah memindahkan hasil jualan ke luar negara sambil meninggalkan pekerja-pekerja Perniagaan Perbankan Pengguna tanpa menghiraukan atau menghormati hak para pekerja.

Menurut Solomon, pekerja-pekerja Malaysia yang telah berusaha bersungguh-sungguh hati dan jiwa untuk membolehkan Citibank berterusan menjana keuntungan selama 63 tahun lalu telah diabaikan begitu sahaja walaupun bank selama ini “menyamar” sebagai majikan yang prihatin.

“Moto Citibank, yang menyatakan, ‘Kami percaya dalam melakukan perkara yang betul’ merupakan suatu pengkhianatan terhadap pelanggan dan pekerja Malaysia,” kata beliau.

Solomon berkata, amat menyayat hati bahawa pihak berkuasa Malaysia enggan mengambil langkah yang sewajarnya untuk melindungi kekayaan dan kesejahteraan negara daripada jerih payah rakyat Malaysia yang telah dimanipulasi secara bijak oleh pelabur asing yang tidak bertanggungjawab seperti Citibank.

“Di Korea Selatan, Citibank telah mengalami kerugian berterusan.

“Walau bagaimanapun, apabila perniagaan di negara tersebut terpaksa ditutup kerana tiada pihak yang berminat mengambil alih, pekerja-pekerja bank menerima gaji pemberhentian selama tujuh tahun daripada 100% gaji dan manfaat lain,” kata beliau.

Sebaliknya, tegas beliau, selepas mengaut keuntungan secara berterusan selama 63 tahun, tidak seorang pun pekerja menerima hasil jualan, kecuali penempatan semula, apabila Perniagaan Perbankan Pengguna Citibank dijual kepada bank lain.

Katanya, ciri sama dalam kedua-dua pekerja Bank di Korea Selatan dan Malaysia ialah kedua-duanya ditamatkan perkhidmatan.

Selanjutnya, menurut Solomon, NUBE dengan tegas berunding agar memperuntukkan sebahagian yang munasabah dan saksama daripada hasil jualan tersebut kerana pekerja telah membanting tulang dan setia pada majikan.

“Ini adalah sebagai tindakan untuk menjaga kebajikan masa depan pekerja Citibank membuat keputusan muktamad untuk tidak membayar sebarang pampasan kepada pekerja.

“Alasan pihak Citibank adalah kerana dasar Malaysia dan undang-undang perbankan tidak setaraf dengan perundangan perbankan Korea Selatan,” kata beliau lagi.

Pada April 2021, Citigroup Inc mengumumkan pihaknya berhasrat untuk keluar daripada francais penggunanya di 13 pasaran, termasuk Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jane Fraser berkata bank itu akan mengendalikan francais perbankan pengguna di Asia dan Eropah, Timur Tengah dan Afrika hanya dari Singapura, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu dan London.

“Ini menempatkan kami untuk meraih pertumbuhan yang kukuh dan pulangan yang menarik yang ditawarkan oleh perniagaan pengurusan kekayaan melalui hab penting ini.

“Walaupun 13 pasaran lain mempunyai perniagaan yang amat baik, kami tidak mempunyai skala yang diperlukan untuk bersaing,” kata beliau ketika itu.

Selain Malaysia, 12 perniagaan lain yang terjejas termasuklah francais pengguna di Australia, Bahrain, China, India, Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Poland, Rusia, Taiwan, Thailand dan Vietnam.