MBOT iktiraf 70 program Kolej Komuniti, 11,000 graduan tekninal bakal dikenali profesional

Sebanyak 70 program akademik ditawar 50 Kolej Komuniti seluruh negara mendapat pengiktirafan Akreditasi Penuh Majlis Akreditasi Teknologi dan Teknikal, Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

KUALA LUMPUR: Sebanyak 70 program akademik yang ditawarkan oleh 50 Kolej Komuniti seluruh negara mendapat pengiktirafan Akreditasi Penuh daripada
Majlis Akreditasi Teknologi dan Teknikal (TTAC), Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, MBOT berkata, kesemua program tersebut merupakan Sijil Tahap 3 Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework – MQF).

Menurut MBOT, program-program tersebut merangkumi enam daripada 24 bidang yang diiktiraf oleh MBOT iaitu Teknologi Automotif, Teknologi Elektrik dan Elektronik, Teknologi Pembinaan, Teknologi Makanan, Teknologi Berasaskan Pertanian, dan Teknologi Pembuatan dan Industri.

“Akreditasi Penuh merupakan perakuan rasmi kepada Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) bahawa sijil, diploma atau ijazah yang akan dianugerahkan kepada graduan adalah selaras dengan standard yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” kata MBOT.

Ia menambah, Kolej Komuniti melakar sejarah apabila buat julung kalinya telah mendapat pengiktirafan Akreditasi Penuh dari badan profesional seperti MBOT. Ini merupakan satu petunjuk penting bahawa institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti Kolej Komuniti mempunyai standard yang tinggi termasuk dalam aspek pengajaran, kualiti tenaga pengajar, metodologi serta sumber pengajaran.

“Dengan ini, MBOT yakin bahawa kolej-kolej komuniti akan berjaya menghasilkan juruteknik pakar yang bersedia untuk berkhidmat dalam industri, dan memanfaatkan kesemua
pemegang taruh utama dalam program TVET.

“Pengiktirafan ini turut melayakkan graduan-graduan daripada 70 program tersebut untuk mendaftar sebagai Juruteknik Berkelayakan di bawah MBOT secara automatik sejurus tamat pengajian,” kata MBOT.

MBOT juga berkata, pengiktirafan Akreditasi Penuh program-program bersifat teknikal ini juga bakal menyaksikan lebih 11,000 graduan teknikal berpotensi untuk diiktiraf sebagai profesional untuk menjadi pakar industri sebagai Juruteknik Bertauliah (Tc.).

Selain itu, MBOT juga yakin bahawa usaha ini akan membantu dalam usaha Kerajaan yang mengambil pelbagai inisiatif untuk memperkasakan program TVET, sekali gus meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap TVET sebagai salah satu platform pendidikan dan sumber sara hidup yang penting.

Sehingga kini, TTAC MBOT telah mengakreditasi 805 program akademik merangkumi Sijil Tahap 3, Diploma, Diploma Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda di pelbagai pusat pengajian iaitu universiti awam, swasta, dan institusi TVET.

“MBOT akan terus memantau proses pengajaran dan pembelajaran di bawah program TVET bagi memastikan pengiktirafan yang diberikan ini dipertahankan kualiti sepanjang masa. MBOT meletakkan sasaran untuk meningkatkan jumlah Kolej Komuniti yang menerima Akreditasi Penuh,” tambah MBOT.