CAMU kemuka 6 tuntutan kepada calon PRU15, mahu hak dan kebajikan pekerja dijaga

Pemimpin-pemimpin CAMU dan ahli kesatuan gabungannya menunjukkan sepanduk enam tunturan kepada calon-calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini, yang memperlihatkan keunikan tersendiri termasuk lebih 900 calon bertanding kerusi Parlimen dengan penyertaan lebih 21 juta orang pengundi, Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) yang dianggotai oleh lebih 100 ksatuan sekerja, hari ini mengemukakan enam tuntutan – mahu calon-calon bertanding agar memberi komitmen untuk mempertahankan hak dan kebajikan para pekerja di negara ini.

Pengerusi CAMU, Rudy Rusly berkata, memandangkan wujudnya eksploitasi dan diskriminasi yang berterusan terhadap pekerja-pekerja sejak 65 tahun yang lalu, pihaknya menuntut calon-calon yang bertanding dalam PRU15 supaya menyokong Enam Tuntutan yang perlu dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas memenangi plihan raya.

Enam tuntutan CAMU itu menggesa supaya:

i. Jabatan Perhubungan Perusahaan dan Mahkamah Perusahaan mengarahkan majikan-majikan melaksanakan Formula Gaji Minimum Kementerian Sumber Manusia supaya jurang ketidakseimbangan pendapatan akan dikurangkan.

ii. Dewan Rakyat menarik balik Rang Undang-undang (RUU) Kesatuan Sekerja (Pindaan 2022) dan memansuhkan semua seksyen eksploitatif terhadap pekerja dalam RUU itu, yang membolehkan pelaksanaan kepelbagaian kesatuan sekerja dan kuasa berlebihan atau autonomi Ketua Pengarah. Sebagai alternatif, Dewan Negara akan mengarahkan Dewan Rakyat meniliti semula RUU tersebut.

iii. Majikan dihukum jika memecat pemimpin kesatuan sekerja dan ahli kesatuan yang mengambil bahagian dalam aktiviti kesatuan sekerja berikutan pertikaian perusahaan.

iv. Para pekerja digalak untuk menyertai kesatuan sekerja yang sedia ada dan apabila pengiktirafan kesatuan sekerja diadakan dalam persekitaran bukan kesatuan, majikan hendaklah mengiktiraf kesatuan tunggal dalam kategori yang sama.

v. Undi rahsia yang dijalankan oleh kerajaan yang memerlukan persetujuan pekerja untuk menyertai kesatuan sekerja hendaklah dimansuhkan.

vi. Demi melindungi para pencarum, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hendaklah mengadakan mesyuarat agung tahunan secara teratur dan menjemput pencarum-pencarum sebagai pihak-pihak berkepentingan bersama-sama membincangkan aktiviti dan laporan-laporan kewangan bagi mencapai ketelusan dan akauntabiliti.

CAMU ditubuhkan pertengahan tahun ini untuk membantah pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959, yang diluluskan awal bulan lalu sebelum Parlimen dibubarkan, yang memberi ruang kepada elemen kepelbagaian kesatuan sekerja, yang dikhuatiti akan membunuh pergerakan kesatuan sekerja di negara ini.

Rudy menambah, PRU15 adalah pilihan raya umum yang penting dalam menentukan hala tuju negara dan masa depan para pekerja.

“CAMU mahu para calon meluahkan tuntutan-tuntutan CAMU demi penambahbaikan pekerja semasa menyampaikan ceramah.

“Selanjutnya, CAMU mahu kesemua enam tuntutan yang dikemukakan ini disokong dan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas memenangi dalam PRU15,” kata beliau.

Justeru itu, katanya, CAMU akan menggalakkan komuniti pekerja yang terdiri daripada 15 juta pekerja Malaysia supaya menyokong calon-calon yang menandatangani aku janji menyokong pendirian CAMU ini.

Rudy berkata, susulan pertemuan yang diadakan dengan calon-calon yang bertanding setakat semalam seramai 21 calon telah memberikan sokongan bertulis ke atas enam tuntutan mereka manakala 11 calon lagi telah menyatakan sokongan tetapi tidak memberi sokongan bertulis.

“Kami telah mengadakan pertemuan dengan lebih 30 calon yang bertanding di peringkat parlimen. Sementara tinggal lagi lapan hari, CAMU akan terus mengadakan pertemuan dengan calon-calon lain untuk mendapatkan sokongan,” kata beliau sambil menegaskan mereka hanya memfokus calon peringkat parlimen.

“Kata beliau, CAMU yakin lebih ramai calon akan menyokong tuntutan pihaknya.

“Ini kempen percuma CAMU kepada calon-calon yang bertanding. Kami berharap calon-calon yang bertanding akan menyokong (secara bertulis) kepada CAMU,” kata beliau.

Berikut merupakan calon-calon yang memberi sokongan bertulis kepada enam tuntutan:

  1. Koh Sew Yong (Parti Rakyat Malaysia – Jelutong)
  2. Teh Yee Cheu (Parti Rakyat Malaysia – Bukit Bendera)
  3. Datuk Muhamad Yusof Mohd Noor (BN – Tasek Gelugor)
  4. Datuk Dr Abdul Halim (Pejuang – Tasek Gelugor)
  5. Datuk Sri Sabaruddin Ahmad (Bebas – Balik Pulau)
  6. Nuhairi Rahmat (Pejuang – Alor Setar)
  7. Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (BN – Permatang Pauh)
  8. Dr G Balachandran (Warisan – Gopeng)
  9. Datuk Seri Thanenthiran (BN – Nibong Tebal)
  10. Mutalib Uthman (MUDA – Masjid Tanah)
  11. Datuk Hoh Hee Lee (BN – Bangi)
  12. Goh Kheng Huat (Bebas – Nibong Tebal)
  13. Dr Taufik Datuk Johari (PH – Sungai Petani)
  14. Tian Chua (Bebas – Batu)
  15. Nurin Aina (PH – Merbok)
  16. Sabri Azit (PAS-PN – Jerai)
  17. Harris Idaham Rashid (BERSATU-PN – Balik Pulau)
  18. Alan Oh (PN-Bagan)
  19. Datuk Kamarudin Jaffar (PN-Bandar Tun Razak)
  20. Datuk Hasmuni Hassan (BN-Kubang Pasu)
  21. Ravinder Singh (PRM – Bayan Baru)