KUALA LUMPUR, 5 Sept: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) hari ini menyerahkan memorandum protes kepada Kementerian Sumber Manusia berhubung keputusan kerajaan menangguhkan tarikh penguatkuasaan pindaan Akta Kerja 1955.
Pindaan itu sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 September, tetapi ditunda sehingga Januari 2023.
Memorandum diserahkan kepada Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Kementerian Sumber Manusia, Kolony Gunting oleh Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal.
Turut hadir sama Setiausaha Agung UNI-MLC, Mohd Effendy Abdul Ghani; Bendahari Agung, V. Mathialaghan; Naib Presiden-naib Presiden, Matkar Siwang, Ismail Ali, Shaffie Osman, Azhar Abdul Shukor dan Fahlunnisak Binti Ahmad Sani.
Dalam kenyataan dikeluarkan, Shafie berkata, UNI-MLC yang mewakili 104 kesatuan gabungan dengan keahlian 350,000 ahli mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada kerajaan kerana telah mengumumkan bahawa pindaan Akta Kerja 1955 yang akan dilaksanakan serta akan berkuat kuasa pada 1 September lalu.
Kata beliau, pengumuman itu telah disambut baik oleh seluruh ahli kesatuan gabungan UNI-MLC dan kaum pekerja di Malaysia serta menyifatkan ia adalah satu hadiah terbaik sempena Hari Kemerdekaan Ke-65.
“Kandungan pindaan kepada Akta Kerja 1955 telah pun dibahas di Parlimen – kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, dan telah mendapat persetujuan serta kelulusan bagi tujuan menambah baik hal ehwal kebajikan pekerja.
“Ketika itu, kami juga mengucapkan penghargaan kepada ahli-Ahli Parlimen dari pelbagai parti dan Ahli Dewan Negara kerana memahami tujuan pindaan iaitu bertujuan memelihara kesejahteraan kaum pekerja dan orang tersayang mereka sejajar dengan saranan Kerajaan Keluarga Malaysia,” kata beliau.
Malangnya, kata beliau, berita gembira itu telah menjadi ‘berita buruk” serta memberi tamparan yang mendalam ke atas warga pekerja di Malaysia apabila pada 29 Ogos lalu, Menteri Sumber Manusia telah mengumumkan bahawa Akta Kerja 1955 yang dipinda, yang sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 September, ditangguhkan sehingga Januari 2023 tanpa sebab-sebab dan justifikasi kukuh kepada keputusan penundaan ini, dan tanpa mengadakan perbincangan dengan wakil pekerja iaitu kesatuan-kesatuan sekerja.
“Justeru itu, kami, UNI-MLC merasa kecewa dan dukacita di atas keputusan yang dibuat oleh Kerajaan dan seterusnya diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia.
“Keputusan pengumuman ini merupakan satu penghinaan besar eperti menghina ke atas warga pekerja di negara sendiri.
“Ia mencerminkan kelemahan di Kerajaan dan Kementerian Sumber Manusia, seolah-olah tidak membuat persediaan yang rapi dalam melaksanakan pindaan dan penguatkuasaan peruntukan baharu,” kata beliau lagi.
Shafie menyoal kenapa dan mengapa kerajaan sanggup mengambil satu keputusan yang drastik yang bersifat menghina dan mengabaikan kepentingan 15 juta orang pekerja di Malaysia? dan menghukum kaum pekerja di Malaysia.
“Jika pembelaan ke atas kaum pekerja seperti ini tidak diberi perhatian oleh kerajaan hari ini, siapa lagi yang akan boleh membantu kaum pekerja untuk mendapatkan sedikit kemudahan serta keselesaan sejajar dengan terma dan syarat yang termaktub di Akta Kerja 1955.
“Nampaknya Kerajaan dan Kementerian Sumber Manusia telah gagal dalam tugas hakiki sebagai pelindung kepentingan dan hak kaum pekerja.