KUALA TERENGGANU Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memberi bayangan akan bersara dalam arena sukan yang diceburinya.
Pemenang pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo itu juga berkata Sukan Olimpik 2024 mungkin penampilan terakhirnya sebelum bersara.
Menurut anak kelahiran Dungun, Terengganu itu, pengunduran yang dibuat itu bagi memberi ruang kepada atlet muda mengetuai cabaran skuad berbasikal negara.
“Seperti semua tahu saya sekarang ini sedang membuat persiapan ke Sukan Olimpik di Paris iaitu kemungkinan yang terakhir … dan kita punya misi pergi sana untuk peroleh emas… saya sudah dapat gangsa di Rio (de Janeiro, Brazil), pingat perak di Tokyo dan Insya-Allah untuk Paris kita akan sasar emas. Saya rasa tidak ada apa-apa masalah dari segi persiapan,” kata beliau.
Azizulhasni berkata demikian kepada dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang disampaikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar di sini.
Dalam majlis itu, Azizulhasni menerima insentif berupa ganjaran sebuah rumah kediaman bernilai RM300,000 dan dan wang tunai RM50,000 sumbangan kerajaan negeri.
Sehubungan itu, beliau berkata, beberapa perancangan juga telah diatur selepas meninggalkan sukan berbasikal tersebut termasuk menyambung pelajaran.
“Saya ada beberapa perancangan tetapi buat masa ini, saya tak boleh nak kongsi lagi (cuma) untuk jangka pendek selepas Olimpik (Tokyo) saya nak habiskan belajar dulu.
“Sekarang ini pun di Melbourne saya ada setahun lagi, kalau boleh habis degree (ijazah) saya nak sambung belajar lagi, tapia da juga beberapa perancangan lain, tapi buat masa ini kita simpan dulu… fokus untuk Olimpik,” ujarnya.
Pemain berusia 33 tahun itu juga berkata, fokusnya kini untuk menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan.
The Pocket Rocketman itu muncul sebagai rakyat Malaysia pertama memenangi pingat perak dalam acara berbasikal trek di Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada 8 Ogos lepas.