UNI-MLC: Tangguh kuat kuasa pindaan Akta Kerja rugikan 15 juta pekerja, jangan tunduk desakan majikan

Akta Kerja 1955 yang dipinda telah ditangguhkan pelaksanaannya.

KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) terkejut dengan keputusan Kementerian Sumber Manusia, yang diumumkan saat-saat akhir sebelum tarikh pelaksanaan, untuk menangguhkan kuat kuasa pindaan Akta Kerja 1955 sehingga Januari 2023.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, penangguhan itu secara langsung telah menafikan hak dan kepentingan lebih 15 juta pekerja di negara ini, sama ada mereka yang terangkum di bawah Perjanjian Kolektif ataupun sebaliknya, sekali gus mencetuskan kekecewaan yang amat mendalam dalam kalangan para pekerja.

Oleh itu, kata beliau, UNI-MLC mahu kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Sumber Manusia, Datuk M. Saravanan mengkaji semula keputusan menunda pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022).

Tegas beliau, UNI-MLC mahu peruntukan baharu yang hendak dibawa menerusi pindaan Akta Kerja dilaksanakan dengan segera mengikut tarikh awal yang telah diumumkan sebelum ini, iaitu 1 September 2022.

Kata beliau, kementerian Sumber Manusia tidak memberi justifikasi yang konkrit apabila membuat keputusan untuk menangguhkan pindaan Akta Kerja 1955, dan ia menambah kekecewaan dalam kalangan kesatuan dan pekerja.

“UNI-MLC terkilan dengan pengumuman semalam,” kata beliau dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Shafie berkata, apabila kerajaan mengambil langkah untuk meminda Akta Kerja 1955, UNI-MLC gembira kerana Kementerian Sumber Manusia mengadakan sesi libat urus dan kemudian ia dibawa ke Parlimen untuk diluluskan.

“Malangnya, apabila pelaksanaannya hendak ditangguhkan, tiada libat urus antara Kementerian Sumber Manusia dan kesatuan sekerja-kesatuan sekerja. Keputusan yang diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia semalam sangat memeranjatkan,” kata beliau sambil menambah, “timbul persoalan apakah Kementerian Sumber Manusia tidak membuat perancangan yang teliti dan rapi dalam soal pelaksanaan peruntukan-peruntukan baharu.”

“Jika tidak bersedia jangan buat pengumuman hendak melaksanakan. Dan, sekarang tiba-tiba membuat pusingan ‘U’. Pekerja terkeliru dan terkejut,” kata beliau.

Shafie menambah, keputusan menangguhkan pelaksanaan peruntukan-peruntukan baharu yang bakal membawa kelebihan dan manfaat kepada pekerja telah menjejaskan harapan tinggi yang diletakkan oleh pergerakan pekerja seperti UNI-MLC.

Katanya, UNI-MLC juga berpandangan bahawa kerajaan tidak wajar tunduk kepada tekanan segelintir pihak iaitu majikan dalam hal ini, sedangkan keputusan kerajaan telah menafikan dan mengabaikan kepentingan lebih 15 juta pekerja yang ingin melihat pembaharuan dalam kebajikan mereka.

“Kementerian Sumber Manusia tidak seharusnya dengan cepat mengalah kepada tekanan pihak majikan,” kata beliau.

Kenyataan Menteri Sumber Manusia

Semalam, Saravanan berkata, kerajaan memutuskan pelaksanaan pindaan Akta Kerja 1955 yang sepatutnya mula berkuat kuasa 1 September ini, ditangguhkan ke 1 Januari tahun depan.

Antara kandungan pindaan yang ditangguhkan itu ialah penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja.

Kata beliau, penangguhan itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet hari ini, selepas pihak industri dan majikan sebulat suara memohon penangguhan atas beberapa faktor.

“Sebelum pindaan Akta Kerja 1955 dikuatkuasakan, saya dipertanggungjawabkan mengadakan pelbagai sesi perbincangan dengan semua pemegang taruh, khususnya pihak industri.

“Pihak industri sebulat suara merayu supaya ia ditangguhkan kerana mereka perlukan sedikit masa berikutan kebanyakannya masih dalam proses pemulihan ekonomi,” kata beliau.

Saravanan berkata, selepas dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam, semua anggota Kabinet berpendapat kita perlu menangguhkan kuat kuasa ini dan Kementerian Sumber Manusia menetapkan ia dilanjutkan ke 1 Januari 2023.

Dewan Rakyat pada 21 Mac lalu meluluskan pindaan Akta Kerja 1955, sebelum ia diluluskan di Dewan Negara lapan hari kemudian.

Saravanan menambah, pihak industri juga masih berdepan isu kekurangan tenaga kerja asing berikutan kemasukan pekerja asing yang masih perlahan, dan dalam situasi itu, pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 berpotensi menjejaskan industri.

Bagaimanapun, Saravanan menegaskan dan memberi jaminan bahawa penangguhan itu adalah yang terakhir dan ia akan tetap dilaksanakan bermula 1 Januari 2023, tanpa mengira sebarang alasan diberikan majikan.

“Sebab itu kita beri tempoh tiga bulan lagi supaya mereka bersedia,” katanya.

Pendirian MTUC

Dalam pada itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membidas tindakan kerajaan yang didakwa berdolak-dalik dalam menguatkuasakan semua pindaan Akta Kerja 1955/22.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata dia “terkejut dan kecewa” dengan keputusan kerajaan menangguhkan penguatkuasaan pindaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 kepada 1 Jan 2023.

“MTUC tidak di bawa berbincang dengan cadangan pernangguhan tersebut. Pekerja seperti di pulaukan oleh kerajaan walaupun kesan terakhir kebaikan pindaan ini kepada pekerja.

“MTUC tidak menjangka tindakan kerajaan ini. MTUC hairan dengan tindakan flip flop kerajaan yang baru sahaja wartakan Pindaan Akta Kerja di laksanakan pada 1 Sept 2022. Amat malang bagi kaum pekerja yang menunggu pindaan ini.

“Adakah kerajaan hanya menuruti kehendak majikan dan tidak mengendahkan keperluan jutaan pekerja yang mempunyai kuasa memilih kerajaan?

“Adakah kepentingan pekerja perlu di abaikan dan kepentingkan golongan kayangan perlu di turuti,” kata beliau menerusi kenyataan malam.

Kamarul berkata kerajaan perlu mengadakan mesyuarat Mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) dan berbincang isu penangguhan kerana ia melibatkan kepentingan pekerja.

Jelasnya lagi, MTUC akan mengadakan mesyuarat khas untuk meneliti dan membincangkan penangguhan akta kerja itu.

Keputusan itu termasuk pelaksanaan had kerja 45 jam seminggu.

Pindaan utama lain yang diluluskan dalam sidang parlimen Mac termasuk pelanjutan cuti bersalin dari 60 hari ke 98 hari, sekatan terhadap pemberhentian pekerja hamil dan pengenalan cuti paterniti bagi pekerja lelaki yang sudah berkahwin.

Pindaan akta itu, juga dikenali sebagai Akta 265, menerima perkenan diraja pada 26 April dan disiarkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan pada 10 Mei.