HWCITF rumus tiada bukti kukuh kematian PPS HPP dengan unsur buli di tempat kerja

Pengerusi HWCITF, Datuk Dr Hamisah Tapsir mengumumkan hasil penemuan laporan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) merumuskan bahawa tiada bukti yang kukuh bagi mengaitkan insiden kematian PPS HPP pada 17 April 2022 dengan unsur buli di tempat kerja.

Dalam laporannya, HWCITF berkata, pihaknya telah menganalisis Laporan Pengesanan dan Pengesahan oleh Unit Integriti, Kementerian Kesihatan dan merumuskan bahawa tiada bukti yang kukuh bagi mengaitkan insiden kematian PPS HPP pada 17 April 2022 dengan unsur buli di tempat kerja.

“Namun demikian, HWCITF berpandangan bahawa terdapat faktor-faktor lain yang mungkin telah memberi tekanan kepada mendiang seperti ekspektasi diri sendiri, ekspektasi di tempat kerja, suasana mencabar di tempat kerja yang melibatkan nyawa pesakit, beban kerja yang tinggi dan tempoh waktu bekerja yang panjang.

“Kekangan masa dan akses kepada maklumat yang lebih mendalam dan terperinci, HWCITF mengekalkan pandangan ini selagi mana tiada maklumat tambahan berkaitan insiden kematian PPS daripada PDRM menerusi siasatan mereka ke atas kes ini,” kata laporan itu.

UI KKM telah diberi mandat untuk melaksanakan tindakan pengesanan dan pengesahan terhadap insiden kematian PPS di HPP bermula pada 25 Jun sehingga 1 Julai 2022. Laporan pengesanan dan pengesahan telah diserahkan kepada HWCITF bagi tujuan analisis laporan.

Berdasarkan Laporan Pengesanan dan Pengesahan yang dikemukakan oleh UI KKM, HWCITF berpandangan bahawa tiada bukti yang kukuh untuk menunjukkan kaitan kematian mendiang dengan unsur buli.

Katanya, pandangan ini selari dengan rumusan UI KKM yang mengesahkan tidak wujud unsur buli dalam kematian PPS di HPP.

HWCITF menambah, pihaknya juga mengambil maklum bahawa UI KKM menghadapi kekangan masa dan akses maklumat dalam melaksanakan Sesi Pengesanan dan Pengesahan, di samping mengambil kira bahawa PDRM masih menjalankan siasatan ke atas kes ini.

“Sehubungan dengan itu, HWCITF mengekalkan pandangan ini selagi mana tiada maklumat tambahan berkaitan insiden kematian PPS tersebut,” katanya.

Ia menjelaskan, semakan ke atas perlakuan mendiang berasaskan keterangan saksi dan sembilan elemen buli didapati bahawa:

i. Kenyataan saksi tidak menunjukkan mendiang menerima sebarang ugutan daripada penyelia atau rakan setugas;

ii. Mendiang telah diberikan tugasan dalam tempoh empat (4) hari tagging seperti mana PPS yang lain, dan ia menggambarkan bahawa tidak berlaku tindakan pengasingan terhadap beliau;

iii. Tiada kenyataan saksi yang menunjukkan beliau menerima sebarang penghinaan daripada penyelia, rakan setugas termasuk daripada jururawat yang membantu beliau;

iv. Tiada kenyataan saksi yang menunjukkan beliau dipanggil dengan nama lain atau diberi jolokan nama atau gelaran selain nama rasmi beliau;

v. Tiada kenyataan saksi yang menunjukkan sebarang penggunaan bahasa yang melampau ke atas mendiang. Walau bagaimanapun, terdapat pernyataan berbentuk “hearsay” iaitu “be more useful and more functional” yang telah diungkapkan sebanyak satu kali kepada mendiang semasa tempoh tagging. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa tekanan kerja dalam persekitaran di hospital adalah sangat tinggi dan ekspektasi yang mencabar;

vi. Kenyataan semua saksi juga tidak menunjukkan yang mendiang menerima sebarang gangguan sama ada daripada penyelia, rakan setugas atau kakitangan sokongan;

vii. Elemen pemberian pampasan yang tidak wajar pula bukan merupakan suatu isu kerana semua PPS menerima emolumen dan elaun yang sama seperti mana yang ditetapkan dalam kontrak standard yang ditandatangani dengan KKM;

viii. Semua PPS perlu melengkapkan tempoh waktu bekerja antara 60-62 jam seminggu bagi setiap posting. Tiada kenyataan saksi yang menunjukkan mendiang telah diarahkan untuk bekerja lebih masa. Sebaliknya, kenyataan saksi merekodkan bahawa mendiang secara sukarela telah datang semula ke wad untuk belajar dan membuat persediaan awal di luar waktu bekerja sehingga dinasihatkan untuk pulang berehat; dan

ix. Kenyataan saksi juga menunjukkan bahawa mendiang tidak pernah merungut mengenai beban kerja, sebaliknya rungutan adalah lebih berkaitan dengan kekecewaan mendiang kerana tidak dapat melaksanakan tugasan dengan baik.

Berdasarkan keterangan saksi, HWCITF berkata, pihknya juga mendapati mendiang merupakan seorang PPS yang benar-benar berminat dengan kerjaya sebagai seorang doktor dan amat komited dalam menjalani sesi latihan serta sanggup memperuntukkan lebih masa di luar waktu bekerja.

“Mendiang bersama rakan baiknya juga telah bersepakat memilih HPP sebagai pilihan utama bagi menjalani latihan PPS atas faktor lokaliti,” kata laporan itu.

Walau bagaimanapun, katanya,terdapat kenyataan saksi yang memberi gambaran bahawa mendiang berhadapan dengan tekanan berdasarkan simptom kegelisahan serta rungutan keletihan apabila mendiang perlu mempelajari sesuatu perkara yang baharu dan melalui tempoh masa kerja yang panjang.

Berdasarkan analisis tersebut, HWCITF merumuskan bahawa:

i. Mendiang sebagai PPS yang baharu melaporkan diri selepas pandemik COVID-19 berhadapan dengan tekanan disebabkan ekspektasi terhadap diri sendiri dan kebimbangan terhadap prestasi dan keupayaan beliau; dan

ii. Tiada bukti yang kukuh untuk menunjukkan kaitan kematian mendiang dengan unsur buli.

Walau bagaimanapun, rumusan HWCITF ini adalah hanya berasaskan kepada kenyataan saksi dan Laporan Pengesanan dan Pengesahan oleh UI KKM serta disandarkan kepada kewujudan elemen buli yang dirujuk. HWCITF tidak mempunyai akses kepada saksi lain dan laporan siasatan PDRM.