Prof Nik Ahmad: RUU Kesatuan Sekerja patut disemak semula demi kepentingan pekerja Malaysia

Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, peruntukan berkaitan kepelbagaian kesatuan sekerja bakal membawa lebih banyak keburukan berbanding manfaat kepada pekerja dan pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia.

KUALA LUMPUR: Kerajaan patut mengkaji semula langkah meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959, yang bakal membawa peruntukan berkaitan kepelbagaian kesatuan sekerja, yang dikhuatiri pekerja dan majikan akan membawa lebih keburukan kepada pekerja dan kesatuan.

Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, peruntukan berkaitan kepelbagaian kesatuan sekerja bakal membawa lebih banyak keburukan berbanding manfaat kepada pekerja dan pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia.

“(Secara umum) Akta Kesatuan Sekerja baik untuk pihak kesatuan sekerja, tetapi langkah meminda undang-undang ini akan membawa banyak keburukan berbanding kebaikan. Apa pun kerajaan patut fikir kembali (untuk memperkenalkan kepelbagaian kesatuan sekerja).

“MEF (Persekutuan Majikan-majikan Malaysia) juga telah membantah, sebab pada pandangan mereka, ia (kepelbagaian kesatuan sekerja) akan membawa kesan yang buruk,” kata beliau pada Forum RUU Kesatuan Sekerja 1959 bertemakan ‘Multiplicity of Unions: Mudarat atau Manfaat’ di sini hari ini.

Tambah beliau, pengalaman di India menunjukkan bahawa kewujudan elemen kepelbagaian kesatuan sekerja membawa kepada persekitaran kesatuan sekerja dipengaruhi oleh parti-parti politik.

“Ini menunjukkan bahawa kesatuan akan dipolitikkan (jika ada kepelbagaian kesatuan sekerja),” tambah beliau yang turut menegaskan bahawa tindakan diambil sekarang menunjukkan bahawa kerajaan kembali ke era sebelum merdeka yang membolehkan satu-satu kesatuan sekerja disertai oleh pekerja-pekerja dari syarikat dan sektor lain.

Forum dianjurkan oleh Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU). Selain Nik Ahmad, ia turut menampilkan Pengerusi CAMU, Rudy Rusly; Felow Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM), Azlan Awang dan Pengamal Perhubungan Perusahaan, A Sivananthan.

Ia diadakan susulan langkah Kementerian Sumber Manusia mahu meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959, yang antara lain akan membawa peruntukan “kepelbagaian kesatuan sekerja”, yang membolehkan lebih daripada satu kesatuan sekerja yang industri dan sektor yang sama ditubuhkan di satu-satu syarikat. Bacaan kali pertama dibawa ke Dewan Rakyat pada Mac 2022 lalu tanpa perbincangan dengan kesatuan sekerja.

Sementara itu, Rudy berkata, pihaknya bimbang akan wujud elemen “katak kesatuan” apabila peruntukan “kepelbagaian kesatuan sekerja” diperkenalkan menerusi RUU Kesatuan Sekerja 1959.

“Sekarang kita saksikan sudah ‘katak politik’. Jadi kami bimbang satu hari nanti akan ada ‘kata kesatuan’ jika kita benarkan pindaan ini, yang membawa kepelbagaian kesatuan sekerja. Ini kerana lepas ini akan ada perbuatan mencuri ahli kesatuan dan kesatuan pula akan bersaing satu sama lain,” kata beliau.

Sambil menyifatkan usaha awal CAMU membantah RUU Kesatuan Sekerja telah berjaya apabila Kementerian Sumber Manusia tampil mengadakan perbincangan dengan kesatuan sekerja dan menangguhkan bacaan kali kedua RUU Kesatuan Sekerja, Rudy berkata, perjuangan CAMU masih jauh.

“CAMU mahu bacaan kali kedua RUU ini ditangguhkan. Ekoran perjuangan kami, bacaan kali kedua telah ditangguhkan semasa sidang Dewan Rakyat Julai-Ogos (yang berakhir 4 Ogos) lalu. Tapi kami khuatir ia akan diteruskan semasa sidang akan datang.

“CAMU akan terus wujud, teruskan perjuangan sehingga peruntukan kepelbagaian kesatuan sekerja ditarik balik,” kata beliau dan menegaskan, “50 peratus pindaan Akta Kesatuan Sekerja kali ini akan memudaratkan pekerja dan kesatuan sekerja,” kata beliau.

Sementara itu, Azlan memberitahu, kerajaan sewajarnya meminda kedua-dua Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 demi kepentingan pekerja, bukannya bagi memenuhi keperluan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Malah menurut beliau, langkah membawa peruntukan “kepelbagaian kesatuan sekerja” menunjukkan wujud elemen salah tafsir atau salah faham di pihak agensi kerajaan mengenai peruntukan Konvensyen 87 Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Sivananthan menegaskan, ketika usaha diperjuangkan untuk meningkatkan keanggotaan pekerja dalam kesatuan sekerja, “kepelbagaian kesatuan sekerja” yang hendak dibawa oleh kerajaan atas nama CPTPP” akan menghancurkan, akan memusnahkan kesatuan sekerja.”

“Di sebalik pelbagai kekangan sedia ada, kepelbagaian kesatuan sekerja akan membawa lebih banyak keburukan kepada kesatuan. Pendirian saya adalah tidak kepada kepelbagaian kesatuan sekerja,” kata beliau.

Sehubungan dengan itu, kata beliau, sekiranya kerajaan benar-benar mahu mewujudkan persekitaran kebebasan berkesatuan, pihak berkuasa seharusnya melakukan dua perkara dengan segera.

“Pertamanya, gugurkan elemen keperluan syarat 50%+1 untuk majikan iktiraf kesatuan sekerja, dan kedua, kenakan syarat agar majikan perlu iktiraf kesatuan sekerja dalam masa tiga bulan, dan jika tiada respons dalam tiga bulan, bermakna pengiktirafan kesatuan sekerja akan menjadi sah secara automatik,” kata beliau.