Kemboja hukum penjara, denda pemimpin kesatuan

KEMBOJA: Sebuah mahkamah di ibu negara Kemboja, Phnom Penh, semalam menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas pemimpin kesatuan terkemuka, Rong Chhun kerana mengkritik kerajaan berhubung cara menangani pertikaian sempadan lama dengan negara jiran Vietnam.

Rong Chhun, yang juga anggota Majlis Pemerhati Kemboja (CWC), payung NGO kesatuan yang mewakili guru, pekerja, petani, dan pelajar dihantar ke Penjara Prey Sar pada 1 Ogos lalu, sehari selepas ditangkap kerana mengkritik kerajaan telah membenarkan Vietnam menceroboh tanah pertanian Kemboja di sepanjang sempadan.

Mahkamah juga mengarahkan Rong Chhun membayar denda 2 juta riel (sekitar RM2,000), bersama hukuman penjara dua tahun yang merupakan hukuman maksimum boleh dikenakan berhubung tuduhan “menghasut untuk melakukan kejahatan”, didakwa melanggar Kanun keseksaan Kemboja. Mahkamah juga menjatuhkan hukuman ke atas dua aktivis lain, Sar Kanika dan Tun Nimol, masing-masing hukuman penjara 20 bulan dan membayar denda yang sama.

Leave a Reply