TDC MTUC esok tidak sah? Kesatuan gabungan minta RoS halang persidangan diadakan

Kesatuan gabungan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu Pendaftar Pertubuhan (RoS) “menghalang” Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC).

KUALA LUMPUR: Pemimpin sebuah kesatuan gabungan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu Pendaftar Pertubuhan (RoS) “menghalang” Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) badan itu, yang bakal menyaksikan pemilihan barisan kepimpinan.

TDC dua hari itu dijadual akan dirasmikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dipercayai pertama kali dilakukan oleh seorang Perdana Menteri.

Datuk Halim Mansor, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perusahaan Petroleum dan Kimia Semenanjung Malaysia dalam suratnya kepada RoS pada 28 Jun lalu berkata, “saya amat berharap laporan ini mendapat perhatian tuan (Pendaftar Pertubuhan) dan mengambil tindakan yang sewajarnya dan segera untuk menghalang persidangan perwakilan yang akan diadakan pada 2 dan 3 Julai.”

Dalam suratnya kepada RoS, Halim yang juga ahli Majlis Am MTUC menggariskan empat sebab TDC kali ini perlu dihalang daripada diadakan.

Majlis Am MTUC bermesyuarat pada Ahad lalu menjelang TDC esok.

Empat alasan yang dikemukakan terdiri daripada ketiadaan surat kebenaran daripada RoS untuk mempercepatkan TDC, menetapkan tempat dan tarikh persidangan yang tidak diputuskan oleh Majlis Am, bajet kewangan persidangan tidak dibentangkan dan tiada angka untuk perbelanjaan TDC, dan Laporan Majlis Am, Laporan Kewangan Beraudit, Laporan Kewangan Semasa dan Agenda Persidangan tidak dihantar kepada kesatuan gabungan 14 hari sebelum persidangan.

Di bawah perlembagaan MTUC, TDC hanya boleh diadakan pada suku terakhir tahun persidangan iaitu antara bulan Oktober dan Disember.

Difahamkan Halim juga telah memfailkan permohonan injuksi mahkamah untuk menghalang TDC.

Permohonan dijangka akan didengar hari ini.

Halim berkata, beliau juga telah menulis surat kepada Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor mengadu mengenai pengendalian pencalonan yang tidak mengikut perlembagaan kongres itu.