NUBE mahu PM segera campur tangan bela pekerja B40 di HSBC Bank

NUBE mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan segera bertindak untuk menghalang pekerja-pekerja B40 di HSBC Bank Malaysia Berhad daripada terus ditindas.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan segera bertindak untuk membela nasib pekerja-pekerja B40 di HSBC Bank, yang majoritinya kaum Melayu, daripada terus ditindas dan dinafikan hak mereka.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, sekiranya tindakan segera itu tidak diambil, pihaknya khuatir matlamat Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), yang Perdana Menteri sendiri lancarkan pada tahun lepas tidak akan tercapai.

Solomon berkata, NUBE mengalu-alukan hala tuju strategik RMK-12 untuk mencapai objektif “Malaysia Sejahtera, Inklusif, Mampan”, selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Kesungguhan jitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menangani pelbagai isu semasa yang melanda negara, memulihkan semula dan meremajakan pembangunan sosioekonomi Malaysia, dengan keperluan pembaharuan dan transformasi nampaknya menggalakkan.

“Untuk ini, ketidakcukupan dalam pelaksanaan dasar kerajaan memerlukan tadbir urus sektor awam yang lebih baik, terutamanya melibatkan agensi-agensi kerajaan.

“Tambahan pula, mempunyai pemimpin yang enggan membetulkan kelemahan mereka dan menambah baik pelaksanaan dasar dan program kerajaan hanya akan mensabotaj niat murni Perdana Menteri,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan semalam.

NUBE sejak Mac lalu telah mengadakan tiga siri piket kebangsaan membantah sikap HSBC yang didakwa enggan menyelesaikan 300 aduan berkaitan pertikaian industri, yang melibatkan aduan-aduan yang difailkan sejak tiga tahun lalu.

Kesatuan itu mendakwa HSBC mengamalkan sikap antikesatuan dan melaksanakan pembuangan pekerja menerusi skim VSS dan MSS sejak lima tahun lalu.

Solomon mendakwa bahawa pengalaman NUBE dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Menteri Kewangan dan Menteri Sumber Manusia adalah beberapa contoh pemimpin yang diberi amanah telah gagal dalam mengambil tindakan terhadap HSBC Bank Malaysia daripada terus menindas pekerja-pekerja miskin.

Malah katanya, semasa Kerajaan Pakatan Harapan, Menteri Kewangan dan Menteri Sumber Manusia, serta Gabenor BNM tidak bertindak segera berhubung perkara itu, walaupun banyak aduan dan peringatan dikemukakan.

Katanya, semasa di bawah Kerajaan Perikatan Nasional, walaupun adanya arahan Perdana Menteri ketika itu, baik Menteri Sumber Manusia dan Menteri Kewangan mahupun Gabenor BNM tidak bertindak untuk menangani taktik HSBC Bank yang menyasarkan pemusnahan kesatuan sekerja.

“Kami mengharapkan bahawa Kerajaan Keluarga Malaysia dengan janji-janji yang dibuat dalam RMK-12, HSBC Bank akan berubah menjadi lebih baik. Malangnya ia semakin buruk,” kata beliau.

Beliau seterusnya berkata, gesaan NUBE agar seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) tempatan dilantik untuk menerajui HSBC Bank membuahkan hasil dan CEO Malaysia yang pertama, Omar Siddiq mengambil alih jawatan tersebut.

“Namun, kami kesal melihat tahap pelanggaran Perjanjian Kolektif yang semakin meningkat dan taktik melengah-lengahkan yang sama digunakan dalam menangani keluhan pekerja,” kata beliau sambil menambah, perkembangan itu seakan mensabotaj semua percubaan Perdana Menteri dalam usahanya membolehkan kesatuan sekerja dengan kuasa tawar-menawar yang lebih kukuh, seperti yang digariskan di bawah Keutamaan A1 RMK-12 dalam Bab 10 untuk mengukuhkan pasaran buruh.

“Adalah penting untuk diingat bahawa RMK-12 menggariskan komitmen meningkatkan keahlian kesatuan sekerja yang akan membolehkan peningkatan kuasa tawar-menawar pekerja dalam rundingan gaji.

“RMK-12 juga menekankan bahawa peningkatan kuasa tawar-menawar pekerja juga akan membantu memperbaiki Pampasan Pekerja (CE) di negara ini.

Katanya, RMK-12 telah menggariskan sasaran utama dengan 40 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025 akan mewakili CE atau gaji pekerja.

“Ini penting untuk memastikan pekerja mendapat bahagian gaji yang saksama dan Malaysia boleh berada di landasan yang betul untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

“Ini kerana negara berpendapatan tinggi biasanya merekodkan antara 45% hingga 50% daripada KDNK mereka yang diwakili oleh gaji yang dibayar kepada pekerja.

“Bagaimanapun, aktiviti memusnahkan kesatuan sekerja tidak akan membantu usaha murni RMK-12. Malah, ia akan melemahkan kuasa tawar-menawar pekerja dan sasaran bahagian gaji dibayar kepada pekerja yang ditetapkan oleh RMK-12 tidak akan tercapai,” kata Solomon lagi.