Mantan Setiausaha Agung NUNW Chandrasekaran meninggal dunia

Mantan Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Suratkhabar (NUNW), R. Chandrasekaran. – Foto ihsan The Star

KUALA LUMPUR: Mantan Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Suratkhabar (NUNW), R. Chandrasekaran meninggal dunia ekoran masalah kesihatan di sebuah hospital di Petaling Jaya, semalam.

Mendiang berusia 64 tahun.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal menyifatkan pemergian Chandrasekaran satu kehilangan besar kepada dunia kesatuan sekerja Malaysia.

Dipetik The Star, anak mendiang, Kiran Ganesh berkata, bapanya yang menghidap diabetes dan kegagalan buah pinggang tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan dialisis di Hospital Assunta dan tidak dapat disembuhkan.

“Beliau dimasukkan ke hospital untuk mengeluarkan cecair dalam paru-parunya pada hari Rabu,” kata beliau.

Mendiang juga merupakan mantan Timbalan Presiden UNI-MLC dan mantan Naib Presiden UNI APRO.

Mohamed Shafie menambah, mendiang merupakan “tiang bagi kesatuan sekerja”, dan “seorang yang membangunkan kesatuan pekerja akhbar.”

“Bro Chandra semasa hayatnya adalah seorang Tokoh Kesatuan Sekerja di negara kita dan sama-sama telah membentuk UNI MLC pada awal tahun 1999,” kata beliau.

Mendiang juga telah memainkan peranan penting dalam Majlis Kesatuan Sekerja Pekerja-pekerja Perkhidmatan Asean (ASETUC).

“Kita kehilangan seorang tokoh kesatuan sekerja, yang telah memperjuangkan usaha membaiki nasib pekerja di sektor suratkhabar.

“Secara peribadi, beliau merupakan seorang pemimpin yang tidak ada gentar dan takut. Ini satu kelebihan beliau,” kata beliau.

Kata Mohamed Shafie, ramai pemimpin kesatuan sekerja dari negara-negara lain turut berkongsi salam takziah atas pemergian mendiang.