MBSB: Kami hormati hak ahli NUBE piket, rujuk JPP cari penyelesaian

MBSB berkata pihaknya sedang dalam perbincangan berterusan dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan berhubung beberapa tuntutan oleh ahli kesatuan.

KUALA LUMPUR: Hak ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) untuk berhimpun secara aman dan menyertai aktiviti kesatuan akan dihormati, kata MBSB Bank Bhd, semalam.

Merujuk kepada piket julung kali diadakan oleh NUBE melibatkan lima lokasi di seluruh Semenanjung secara serentak, MBSB berkata: “Kami menghormati hak ahli kesatuan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti kesatuan dan hak untuk berhimpun secara aman.”

Syarikat itu menambah, pihaknya sedang dalam perbincangan berterusan dengan Jabatan Perhubungan Industri berhubung beberapa tuntutan oleh ahli kesatuan dan akan terus mendapatkan bimbingan daripada mereka bagi mencari penyelesaian secara baik.”

MBSB berkata ia berpegang teguh pada janjinya untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula pekerjanya untuk memupuk mereka dalam pembangunan bakat dan kemajuan kerjaya.

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mengadakan piket peringkat kebangsaan secara serentak di seluruh Semenanjung hari ini bagi membantah tindak-tanduk pengurusan tertinggi MBSB Bank Berhad (MBSB) yang didakwa mendiskriminasi, menafikan dan menganiayai ahli-ahli NUBE, dan bertindak dengan tidak jujur dalam urusan dengan NUBE.

Piket di lima cawangan MBSB, dari pukul 12.30 tengah hari 1.30 tengah hari, berlangsung di Bandar Baru Bangi, Selangor; Wisma Penang Garden Business Centre, George Town, Pulau Pinang, Persiaran Greenhill, Ipoh, Perak; Jalan Melaka Raya 1, Melaka Raya, Melaka dan Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu, Terengganu

Dalam kenyataan dikeluarkan, NUBE berkata, pihaknya tiada pilihan kecuali mengadakan piket ini memandangkan pengurusan tertinggi MBSB dengan sengaja enggan menyelesaikan keluhan-keluhan pekerja yang dibangkitkan dan mengamalkan sikap tidak bertamadun terhadap pekerja-pekerja B40.

“NUBE tidak pernah menghadapi sebarang isu atau masalah dalam memelihara perhubungan perusahaan harmoni, terutama ketika MBSB diterajui oleh Allahyarham Datuk Seri Ahmad Zaini Othman (bekas Ketua Pegawai Eksekutif),” kata NUBE dalam kenyataan dikeluarkan sempena piket kebangsaan tengah hari ini.

Katanya, selepas pemergian Allahyarham Ahmad, pemangku CEO MBSB, Datuk Nor Azam M. Taib dan Pegawai Modal Insan Kumpulan (GPO), Farid Basir, yang bertindak dengan tidak jujur dan tidak profesional, telah mengambil siri tindakan bermusuhan dengan NUBE dan enggan mengakui senarai isu dibangkitkan.

NUBE selain menuntut MBSB kembali ke meja perundingan untuk dialog sosial bagi menyelesaikan segala aduan industri dan menggesa Kumpuan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selaku pemegang saham utama MBSB, agar memecat kedua-dua Azam dan Farid demi menjaga kepentingan pekerja-pekerja MBSB dan pencarum KWSP.