RUU Kesatuan Sekerja: LLRC dakwa pandangan MEF tidak berasas

Gabungan Pembaharuan Undang-undang Buruh (LLRC) menggesa kerajaan tidak menghiraukan kebimbangan yang dinyatakan MEF mengenai kedudukan ekonomi negara susulan pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959.

KUALA LUMPUR: Gabungan Pembaharuan Undang-undang Buruh (LLRC) menggesa kerajaan tidak menghiraukan kebimbangan yang dinyatakan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mengenai kedudukan ekonomi negara susulan pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Dengan merujuk kepada kenyataan MEF baru-baru ini, LLRC berkata, MEF secara selektif mengabaikan tujuan asas akta itu yang bertujuan untuk menggalakkan hubungan industri yang baik.

Akta Kesatuan Sekerja 1959 adalah akta terakhir daripada tiga undang-undang asas buruh di negara ini yang sepatutnya menyaksikan pindaan besar dan bakal membawa perubahan penting dalam pergerakan buruh negara.

MEF mendakwa cadangan agar Akta Kesatuan Sekerja 1959 boleh menjejaskan kestabilan ekonomi adalah tidak berasas.

Bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja dijangka dibawa ke Parlimen bulan depan adalah selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Kebebasan Berpersatuan dan Perlindungan Hak Berorganisasi.

“Semasa bacaan kedua Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022, kami berharap kerajaan memilih pihak 99 peratus pekerja berbanding satu peratus jutawan,” kata LLRC dalam kenyataan media.

LLRC mendakwa Seksyen 12(3)(d) dan 12(3)(d)(e) RUU itu mengekalkan kuasa ketua pengarah untuk menolak pendaftaran kesatuan sekerja.

Kata LLRC ketua pengarah boleh menolak pendaftaran jika perlembagaan kesatuan sekerja bercanggah dengan akta atau mana-mana peraturan sedia ada.

Ketua pengarah juga boleh menolak untuk mendaftarkan kesatuan sekerja jika ia menggalakkan niat jahat dan permusuhan antara kaum, agama dan bangsa yang berbeza.

LLRC berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan hujah MEF bahawa cadangan pindaan itu akan membolehkan akta tersebut digunakan sebagai alat politik untuk membawa kesan buruk kepada kestabilan ekonomi negara.

“Kami juga tidak bersetuju bahawa ia boleh menyebabkan tercetusnya mogok dan gangguan ketenteraman awam,” kata beliau sambil menambah bahawa cadangan untuk bermogok hanya boleh dilakukan dengan undi sulit lebih 50 peratus menyokongnya dan undi sulit itu mesti mempunyai kehadiran sekurang-kurangnya 60 peratus ahli kesatuan.