KUALA LUMPUR: Gaji minimum semasa sepatutnya RM2,200 dan bukannya RM1,500 yang diwartakan berkuat kuasa 1 Mei lalu, kata Presiden Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) J Solomon.
Beliau berkata, berdasarkan formula yang diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Manusia satu dekad yang lalu, pekerja-pekerja di negara ini sewajarnya menerima gaji minimum RM2,200.
“Gaji minimum sekarang pun, walaupun Kementerian Sumber Manusia yang keluarkan formula gaji minimum, mereka sehingga kini tidak guna formula itu.
“Kalau betul mereka guna gaji minimum punya formula, gaji minimum yang sepatutnya diterima oleh setiap pekerja, seharusnya RM2,200.
“Jadi bila anda tak guna gaji minimum punya formula, kita tak pasti formula mana yang digunakan. Formula gaji minimum dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia sendiri. Jadi, kita hairan mengapa masih di bawah RM2,200,” kata beliau kepada wartawan selepas majlis pelancaran SPCAAM.
Kata beliau, gaji minimum RM1,500 yang diwartakan sekarang bukan satu aras gaji minimum yang berpatutan.
Oleh itu, langkah memberi pengecualian kepada syarikat yang ada pekerja bawah lima orang tidak masuk akal.
“Saya berharap Kementerian Sumber Manusia akan kaji balik dan pastikan “gaji minimum itu adalah gaji kehidupan,” kata beliau.
Pada masa yang sama, Solomon berkata, gaji minimum perlu dibayar kepada semua pekerja dan bukannya memberi peluang majikan untuk membuat persediaan sewajarnya.
“Saya nasihatkan Kementerian Sumber Manusia, bila keluarkan satu formula untuk kira gaji minimum, gunalah formula tu,” kata beliau.
Pada penghujung bulan lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Ser M Saravanan mengumumkan penangguhan gaji minimum kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun depan.