KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Johor, Liew Chin Tong menyeru Kerajaan Negeri Johor menjadikan usaha menyediakan pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih baik sebagai agenda utama aktiviti ekonomi negeri.
Kata beliau, ia boleh dilakukan dengan antara lain memastikan semua pelaburan masuk ke Johor perlu dinilai atas dasar sumbangannya untuk menghasilkan pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih baik kepada warga Malaysia.
“Memang kita memerlukan pelaburan dalam apa bentuk sekalipun tetapi adalah lebih baik jika kita dapat membawa masuk pelaburan yang berkualiti tinggi.
“Peluang-peluang pekerjaan berkualiti ini memang tepat untuk rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, kerana ramai antara mereka sudahpun mendapat latihan kemahiran tinggi, TVET atau ijazah pengajian tinggi,” kata beliau dalam perutusan sempena Hari Pekerja.
Beliau yang juaga Ahli Dewan Undangan Negeri Perling berkata, di Johor, pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih baik bermakna upah sekurang-kurangnya perlu berada pada tahap dua pertiga daripada gaji yang diterima oleh pekerja Malaysia di Singapura.
“Ini bermakna jika seseorang pekerja separuh mahir Malaysia di Singapura dibayar S$2,000 sebulan, beliau tentunya sanggup kembali ke tanah air jika majikan Malaysia membayar gaji bulanannya di antara RM3,000 dan RM4,000.
“Walaupun kurang sedikit daripada gaji di Singapura, pekerja Malaysia akan lebih selesa dan sejahtera apabila dapat bersama keluarga di rumah selepas kerja setiap hari,” kata beliau.
Jelas beliau, untuk mencapai tahap gaji tersebut untuk pekerja separuh mahir, dasar-dasar perlu ditumpukan kepada peningkatan teknologi, automasi dan cabaran revolusi industri keempat atau IR 4.0.
“Ini akan dapat mengurangkan kebergantungan kita kepada tenaga buruh fizikal, terutamanya pekerja asing, dan akhirnya mampu untuk membayar gaji yang lebih baik kepada setiap pekerja Malaysia,” tambah Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Johor.
Chin Tong menambah, perubahan besar struktur gaji ini dalam ekonomi Johor dan Malaysia tidak akan berlaku dengan sekelip mata, dan mungkin mengambil masa di antara 5 dan 10 tahun untuk cita-cita ini menjadi kenyataan.
“Namun, kita semua tahu bahawa perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah pertama. Dan langkah ini harus bermula sekarang.
“Kerajaan Negeri Johor yang baharu ini perlu mewujudkan satu peta panduan rancangan lima tahun untuk menyediakan pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih baik.
“Pihak Pembangkang yang saya pimpin bersedia untuk menyumbangkan idea bagi memastikan usaha ini mencapai kejayaan,” kata beliau yang juga Pengerusi DAP Johor.