Janganlah usik simpanan KWSP lagi, kata MTUC

SEMASA-Janganlah-usik-simpanan-KWSP-lagi-kata-MTUC
SEMASA-Janganlah-usik-simpanan-KWSP-lagi-kata-MTUC

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengecam cadangan Kementerian Kewangan untuk membenarkan pengeluaran I-Sinar 2.0 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata cadangan itu dibantah berikutan tidak dibincangkan bersama MTUC dan MEF sedangkan ia melibatkan simpanan pekerja.

“MTUC membantah cadangan menggunakan simpanan hari tua pekerja. Kerajaan seharusnya membantu menambah tabung simpanan pekerja dengan memberi pelbagai insentif untuk membolehkan pekerja bersara dengan tenang dan selesa,” katanya dalam satu kenyataan.

“Tugas dan tanggungjawab kerajaan adalah untuk mencari dana bagi tujuan membantu pekerja.

“Jangan usik duit simpanan pekerja bagi menunjukkan bahawa bantuan telah diberikan, (dan) kerajaan mengambil kredit ke atas simpanan pekerja sedangkan itu adalah simpanan hari tua.”

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi bayangan kerajaan akan mengumumkan bantuan ‘wajar’ dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan mengenai isu moratorium dan i-Sinar bersama Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan agensi-agensi berkaitan.

Dalam pada itu, Kamarul berkata MTUC mendesak kerajaan memberikan bantuan kepada B40 dan M40 sebanyak RM1,200 sebulan.

Selain itu, MTUC juga mendesak kerajaan memberikan moratorium automatik selama enam bulan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Moratorium 1.0 yang telah dilaksanakan berjaya membantu pekerja,” katanya.

Leave a Reply