PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kecewa terhadap majoriti kepimpinan parti politik susulan tiada maklum balas berhubung surat untuk mengadakan perjumpaan bersama bagi membincangkan isu pekerjaan.
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, setakat ini hanya satu sahaja parti politik telah berbincang dengan MTUC berkenaan dengan nasib dan harapan pekerja di Malaysia.
“Mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan tidak pernah diadakan sejak 2020. MTUC tidak dijemput dalam sebarang perbincangan mengenai pembukaan ekonomi atau perancangan terhadap pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, MTUC berharap krisis kepimpinan negara dapat diselesaikan secepat mungkin agar dapat memberi ruang kepada pemulihan ekonomi dan mengekang wabak Covid-19.
Kamarul berkata, krisis kepimpinan telah merumitkan lagi keadaan yang membawa kepada ketidak pedulian pemimpin terhadap isu pekerjaan dimana kini kadar pengangguran dan kehilangan pekerjaan semakin tinggi.
“Ketidak pedulian pemimpin politik semakin jelas apabila tiada isu pekerjaan diangkat menjadi agenda utama,
“Keadaan pekerja semakin tertekan dengan pemotongan gaji, elaun dan dicutikan tanpa gaji menunjukkan bahawa keselamatan pekerjaan di Malaysia semakin tidak terjamin,” katanya.