300 sebab NUBE anjur piket kebangsaan bantah HSBC, fasa kedua di Pulau Pinang semalam

Salah satu poster protes yang dibawa oleh peserta piket kebangsaan Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Malaysia (NUBE) di George Town, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) meneruskan piket kebangsaan di seluruh Semenanjung Malaysia dengan yang terbaharu di George Town, Pulau Pinang, tengah hari semalam.

Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon berkata, piket bermula minggu lepas diadakan sebagai tanda protes terhadap sikap tidak adil, tidak profesional dan diskriminasi HSBC Bank Malaysia Berhad, melibatkan 300 pertikaian industri, sejak tahun 2019.

Piket satu jam semalam telah diadakan di pekarangan HSBC Bank Malaysia Cawangan Pulau Pinang di No 1, Downing Street di sini. Piket fasa pertama telah diadakan dengan berjaya pada 10 Mac 2022 di HSBC Cawangan Jalan Bukit Timbalan, Johor Bharu, Johor.

“Ini kali pertama NUBE berhadapan dengan 300 pertikaian industri dalam satu masa, yang tidak mahu diselesaikan oleh HSBC Bank Malaysia,” kata beliau kepada pemberita di sini.

Sebahagian suasana piket kebangsaan yang diadakan di No 1, Downing Street, George Town, Pulau Pinang semalam.

“Kami akan teruskan piket sehingga semua pertikaian industri diselesaikan,” kata beliau mengenai tindakan susulan.

Kata beliau, NUBE terpaksa mengambil tindakan perhubungan perusahaan ini selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HSBC Bank Malaysia dan CEO semasa tidak mahu mengadakan/memanggil Mesyuarat Jawatankuasa Tetap bagi menangani proses Penyelesaian Pertikaian selaras dengan peruntukan Perjanjian Kolektif (CA).

Solomon mendakwa pihak pengurusan HSBC Bank Malaysia enggan menyelesaikan isu-isu yang telah dibangkitkan oleh NUBE sejak tiga tahun lalu, dan mencabuli hak dan kepentingan ahli-ahli NUBE, pekerja kalangan B40 dan M40.

Tambah beliau, tindakan piket ini juga diadakan bagi membantah dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang, menerusi anak syarikatnya InvestPenang, menjalin kerjasama dengan HSCB Bank Malaysia dengan menandatangani MoU pada Oktober 2021, meskipun menyedari tentag mengenai latar belakang imej dan reputasi negatif HSBC di peringkat global

Menurut Solomon, antara pertikaian industri yang telah dikenal pasti termasuklah enggan menghormati undang-undang buruh Malaysia termasuk peruntukan Akta Perhubungan Perusahaan 1967, menghina pekerja-pekerja beragama Islam, mendiskriminasi pekerja-pekerja bank terutama ahli-ahli NUBE, melanggar peruntukan undang-undang buruh bagi mengawal fungsi dan peranan kesatuan sekerja, iaitu NUBE, mendedahkan butiran peribadi pelanggan kepada pihak luar dengan menyumber keluar fungsi-fungsi bank, melanggar Seksyen 133(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, mengabaikan aduan-aduan yang dikemukakan oleh pekerja dan NUBE, penyumberan keluar pekerjaan kepada pihak ketiga dan memaksa ahli-ahli NUBE mengambil VSS, dan membuat permohonan baharu untuk diambil kerja di HSBC Bank Malaysia, dan melayani pemimpin-pemimpin kesatuan sebagai penjenayah.

Seorang ahli NUBE mengedarkan risalah piket kebangsaan.

Oleh itu, kata beliau, NUBE tiada pilihan kecuali mengambil tindakan berpiket ini memandangkan HSBC Bank Malaysia telah berulang kali enggan berbincang dengan kesatuannya, di pelbagai peringkat perbincangan, di bawah peruntukan semangat perhubungan perusahaan harmoni yang jelas termaktub dalam CA antara NUBE dan HSBC Bank Malaysia, dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967, dan pada masa yang sama, dengan sengaja mengelak daripada berunding untuk mencari penyelesaian ke atas segala aduan dan pertikaian industri yang telah dibangkitkan.

“Tindakan tidak adil dan tidak profesional HSBC Bank Malaysia itu, yang melibatkan 300 pertikaian industri semasa pandemik, adalah melampau dan mencabar kesabaran pekerja-pekerja B40 dan M40.

“Sikap sedemikian juga tidak mencerminkan kedudukannya sebagai sebuah bank bertaraf global, dan bertindak bertentangan dengan nilai-nilai sendiri yang didakwa diperjuangkan oleh HSBC,” kata beliau.