Isu HSBC: Gesaan NUBE ada asas, Malaysia perlukan dasar pelaburan mesra buruh

Datuk Abdul Halim Mansor

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memperkenalkan dasar mesra buruh dengan memperketatkan syarat pelaburan asing agar majikan bertindak berpusat hak dan kebajikan pekerja negara, kata Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor.

Kata beliau, Malaysia wajar mengambil dasar yang lebih membina untuk menjaga kepentingan kesemua pihak atau pemegang taruh iaitu para pekerja dan syarikat yang bertindak sebagai majikan, dan perlu memastikan pekerja-pekerja kita tidak didiskriminasi atau dianiaya oleh mana-mana syarikat asing.

“Merujuk kepada gesaan agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu menyemak semula kerjasama dengan HSBC Bank Malaysia Berhad (HSBC) dengan membatalkan MoU berkaitan usaha menarik pelaburan antara bank itu dan InvestPenang, sudah sampai masa bagi kerajaan pusat dan kesemua Kerajaan Negeri perlu mengambil pendekatan tegas dan berani bagi mempertahankan hak dan kepentingan para pekerja di negara ini,” kata beliau.

Halim berkata, selari dengan ketegasan yang dizahirkan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) berkaitan rekod tindakan pihak HSBC Bank Malaysia, Malaysia perlu mempunyai dasar yang tegas dan mesra dalam menjaga kepentingan pekerja.

Beliau menambah, meskipun HSBC Bank Malaysia merupakan sebuah bank tertua di Malaysia, tetapi berdasarkan rekod kes yang difailkan di mahkamah dan di badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), bank tersebut memperlihatkan sikap yang bertentangan dengan semangat perhubungan perusahaan harmoni yang diharapkan.

“Paling jelas adalah tindakan HSBC Bank Malaysia yang bertentangan dengan Perjanjian Kolektif (CA) yang dimeterai dengan kesatuan,” kata beliau.

Halim juga berkata, kaum pekerja kecewa kerana pihak berkuasa yang diberikan mandat dan diletakkan harapan gagal dalam mempertahankan pekerja daripada penganiayaan dan penindasan oleh majikan-majikan yang tidak ada peri kemanusiaan.

“Oleh itu, saya memohon supaya kerajaan pusat mengambil tindakan tegas untuk mengenakan syarat-syarat yang lebih ketat bagi menjamin masa depan para pekerja di Malaysia,” kata beliau.

Halim yang juga Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja Industri Petroleum dan Kimia (NUPCIW) berkata, sejarah menunjukkan tidak ada mana-mana kesatuan sekerja yang menolak kehadiran pelaburan asing ke Malaysia.

“Sebaliknya apa yang diharapkan adalah syarikat-syarikat ini menghormati hak pekerja dan melayan dengan penuh hormat selari dengan standard buruh antarabangsa,” kata beliau.

Kata beliau, pengalaman kesatuan-kesatuan sekerja menunjukkan banyak syarikat asing mengamalkan dasar buruh dwistandard di negara mereka membuat pelaburan.
“Syarikat-syarikat asing senantiasa menjaga kepentingan pekerja mereka di negara asal, sebaliknya mengamalkan dasar atau pendekatan yang berbeza di negara mereka melabur, termasuk di Malaysia.

“Oleh itu, pihak berkuasa Malaysia perlu mengamalkan dasar yang lebih adil di Malaysia yang menyediakan suasana pelaburan yang harmoni dan baik untuk mereka membuat perniagaan,” kata beliau lagi.

Oleh itu, kata Halim, syarat yang lebih ketat perlu dikenakan bagi memastikan dasar buruh yang lebih adil dan saksama, selaras dengan konvensyen ILO dipatuhi oleh syarikat-syarikat asing seperti HSBC Bank Malaysia di Malaysia.

“Sudah tiba masa bagi Kerajaan terutamanya Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, dan Kementerian Kewangan serta Kementerian Hal Ehwal Ekonomi tampil dengan dasar buruh yang lebih baik bagi kesemua pemegang taruh khususnya selari dengan objektif teras Rancangan Malaysia ke-12 dan prinsip Rukun Negara,” kata beliau.

Halim menambah,banyak perkembangan ketika pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu telah mewujudkan keperluan segera untuk memastikan kita mewujudkan persekitaran dan jaminan pekerjaan yang terjamin sepanjang masa.

“Setiap majikan perlu menghormati pekerja sebagai aset modal insan jangka panjang. Banyak majikan di luar negara mula mengamalkan dasar mesra pekerja dengan memberikan pelbagai faedah, manfaat dan kemudahan. Oleh itu, kerajaan dan majikan terutama syarikat asing perlu mengutamakan dasar mesra pekerja,” kata beliau.