Laksana pembaharuan, Majlis Peguam beritahu kerajaan baharu

Laksana pembaharuan, Majlis Peguam beritahu kerajaan baharu
Laksana pembaharuan, Majlis Peguam beritahu kerajaan baharu

PETALING JAYA: Majlis Peguam berkata, kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob perlu melakukan pembaharuan Parlimen dan pilihan raya.

Presiden Majlis Peguam, AG Kalidas berkata, suara dan pandangan minoriti serta pembangkang mesti dihormati.

“Pengekalan dan penyalahgunaan amalan serta prosedur Parlimen berat sebelah akan menyumbang kepada kegagalan Parlimen serta hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap demokrasi kita,” katanya dalam kenyataan.

Kalidas turut menggesa pembaharuan ke atas persempadanan pilihan raya kerana ini penting untuk melindungi “nilai satu undi setiap orang”.

“Penambahbaikan yang dijanjikan dan dipersetujui dalam proses pendaftaran pengundi kita perlu dilaksanakan segera.”

Beliau turut menggesa kerajaan baharu menegakkan kedaulatan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan dan hak yang termaktub di dalamnya, termasuk kebebasan bergerak, bersuara dan berhimpun.

Hak ini, katanya, tidak boleh dikorbankan atas nama Covid-19.

“Sangat penting untuk mempunyai kepercayaan awam dan keabsahan dalam kerajaan baharu supaya langkah kesihatan awam boleh dilaksanakan dengan adil serta berkesan.

“Majlis Peguam akan terus bekerjasama dengan kerajaan hari ini, tanpa mengira parti atau aliran politik, untuk menegakkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang, melindungi serta mempertahankan kebebasan dan hak asasi rakyat.”

Leave a Reply