UNI-MLC sokong pendirian NUBE gesa InvestPenang batal MoU pelaburan HSBC

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal menyokong NUBE dalam isu MoU InvestPenang dan HSBC Bank Malaysia.

KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mengambil pendirian menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar menarik balik memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara InvestPenang dan HSBC Bank Malaysia Berhad bagi menarik pelaburan berimpak tinggi ke negeri itu.

Sambil menyatakan sokongan ke atas pendirian Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) yang diumumkan minggu lalu, Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, peruntukan berkaitan dengan jaminan atau sekuriti pekerjaan harus dipastikan sepanjang masa kerana ketidakpastian pekerjaan dan ketakutan akibat pemberhentian kerja dan persaraan, dan buruh paksa yang menjadi perhatian sejak kebelakangan ini, mempunyai pengaruh besar terhadap sikap bekerja dan hubungan industri yang baik.

Kata beliau, jika ia dibiarkan akan terus menjejaskan reputasi dan nama baik Malaysia di kedua-dua peringkat dalam negara dan luar negara.

“Kesemua agensi kerajaan di peringkat pusat dan negeri perlu memberi perhatian ke atas perkara ini.

“Perkara ini perlu dititikberatkan sekiranya kita benar-benar mahu menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Ia perlu bermula dengan Kerajaan Pulau Pinang, dengan menamatkan MoU yang ditandatangani antara InvestPenang dan HSBC Bank Malaysia Berhad,” kata beliau dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Shafie berkata, UNI-MLC menyokong gesaan NUBE supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri-Kerajaan Negeri mengambil pendirian tegas untuk hanya mengalu-alukan syarikat dan pelaburan asing yang benar-benar berorientasikan rakyat menjalankan perniagaan di Malaysia.

“UNI-MLC juga berharap kedua-dua Kerajaan Negeri dan Pusat perlu mempunyai kemahuan politik dan komitmen yang serius dalam membawa masuk pelabur berkualiti dan mereka yang sanggup menjaga kepentingan pekerja tempatan, bukan mengutamakan keuntungan semata-mata,” kata beliau.

Pada 9 Februari lalu, Setiausaha Agung NUBE, J Solomon menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyemak semula memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani dengan HSBC Bank Malaysia Berhad tahun lalu demi kepentingan rakyat dan kaum pekerja negara ini.

Beliau berkata, NUBE mengalu-alukan pelabur asing yang beretika dan mematuhi undang-undang serta pelaburan mereka ke Malaysia memandangkan majikan bukan sahaja akan menyediakan peluang pekerjaan, tetapi juga melindungi hak pekerja dan bukan sebaliknya.

Kata beliau, susulan langkah InvestPenang dan HSBC Bank Malaysia Bhd menandatangani MoU pada Oktober lalu, yang bertujuan memberi tumpuan bagi membawa pelaburan langsung asing berkualiti tinggi ke Pulau Pinang dan Malaysia, NUBE telah mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 7 Disember 2021 bagi membangkitkan pendirian membantah tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu.

Solomon berkata, Timbalan Ketua Menteri II, Dr P. Ramasamy yang mempengerusikan mesyuarat itu telah mendengar pandangan dan hujah yang dikemukakan oleh delegasi NUBE.

“Kami menghargai masa yang diluangkan oleh Ramasamy untuk mendengar pendirian kami dan beliau telah berjanji untuk menyemak perkara tersebut kerana tidak mengetahui tentang MoU itu dan beliau memberi jaminan kepada kami bahawa isu pekerja adalah keutamaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” kata beliau dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Ekoran sesi itu, kata Solomon, NUBE menerima surat daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini yang mempertahankan kerjasama mereka dengan HSBC Bank Malaysia, yang membayangkan pihaknya akan terus melaksanakan MoU itu walaupun Kumpulan HSBC dikaitkan dengan perbuatan eksploitasi pekerja dan beberapa skandal kewangan antarabangsa.

Katanya, NUBE menimbulkan bantahan terhadap kerjasama ini kerana tindakan berulang HSBC Bank Malaysia telah menjejaskan hak pekerja di Malaysia.

“Ini termasuklah melanggar undang-undang dan peraturan buruh dengan memberhentikan pekerja, terutamanya ahli-ahli NUBE, semasa wabak pada tahun lepas, dan penutupan banyak cawangan, menjadikannya sukar dan membebankan para pelanggan di negara ini,” kata beliau yang turut merujuk kepada laporan media Kumpulan HSBC telah menjadi pusat kepada beberapa skandal kewangan terbesar, tuduhan pengubahan wang haram, pemusnahan hutan global, di pelbagai lokasi di seluruh dunia.

Oleh itu, tegas Solomon, NUBE amat percaya bahawa demi kepentingan semua pihak, kerjasama antara InvestPenang dan HSBC ini perlu ditamatkan.