Saravanan: 600,000 peluang kerja bakal diwujudkan tahun ini

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menyampaikan sijil dan diploma pada Majlis Konvokesyen FeMAC Zon Tengah di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai.- Foto ihsan FB Datuk Seri M. Saravanan

NILAI: Kementerian Sumber Manusia menyasarkan sekurang-kurangnya 600,000 peluang pekerja dapat diwujudkan untuk rakyat tempatan tahun ini melalui kerjasama kementerian itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, lebih banyak program latihan kemahiran untuk rakyat atau warga kerja akan dilaksanakan bagi menghasilkan tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan tenaga kerja negara.

Kata beliau, sebanyak RM6.6 billion diperuntukan bagi tujuan tersebut.

Menurut Saravanan,Persekutuan Pusat-Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (FeMAC) turut memainkan peranan menjayakan aspirasi kerajaan.

“Kita dalam Program Jamin Kerja menyasarkan pengwujudan 600,000 peluang pekerjaan bagi 2022,” kata beliau selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen FeMAC Zon Tengah di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini.

Majlis itu menyaksikan 280 peserta menerima sijil dan diploma masing-masing.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, pihak industri perlu bersedia untuk membuat permotongan levi menerusi kementerian itu bagi faedah dan kepentingan warga kerja dengan menyediakan peruntukan khas bagi tujuan menyedia dan melaksanakan program latihan selaras keperluan masa hadapan khususnya Revolusi Perindustrian Keempat.

Katanya, pihak industri harus sedar, pendidikan dan latihan yang diterima pekerja pada hari ini mungkin kurang relevan pada masa akan datang.

Oleh itu setiap syarikat sama ada kecil atau besar mesti ada peruntukan khas untuk warga kerja menjalani latihan kemahiran dan menambah ilmu pengetahuan, jelas beliau.

“Pemotongan levi melalui kementerian ini adalah hak industri dan kita tak ambil (guna) duit itu, ia hanya sebagai simpanan dan mereka boleh ambil semula apabila hendak adakan program latihan kemahiran pekerja,” kata beliau.