KSU Kementerian Kesihatan Mohd Shafiq dilantik KPPA

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali (kiri) menyampaikan surat pelantikan sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam kepada Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah. – Foto ihsan FB Mohd Zuki

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkuat kuasa Khamis lalu..

Pelantikan itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali yang mengatakan bahawa pelantikan itu telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menggantikan Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd. Rahman yang bersara wajib pada 16 Januari lalu.

Mohd. Shafiq, 58, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Meiji, Jepun.

Mohd Zuki berkata, Mohd. Shafiq berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun dengan jawatan pertama disandang sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Istiadat, Jabatan Perdana Menteri pada 1 Disember 1992.

“Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan serta pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Saya yakin dengan pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki, beliau mampu menggalas amanah dan tanggungjawab dalam menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi kerajaan,” kata beliau.