PRN Johor: Hari undi 12 Mac, penamaan calon 26 Feb

Hari mengundi Pilihan Raya Negeri Johor ditetapkan pada 12 Mac 2022.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Dalam pada itu, hari penamaan calon adalah pada 26 Februari.

Perkara itu diumumkan di akhir mesyuarat khas yang diadakan di Johor Bahru pagi ini.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN untuk diadakan.

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berkata PRN itu perlu dilakukan agar pentadbiran mempunyai mandat lebih besar, berbanding kelebihan satu kerusi sebelum ini.

Bagaimanapun langkah dilihat sesetengah pihak sebagai mengambil peluang terhadap kelemahan pembangkang serta menyingkirkan Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi oleh Bersatu dan PAS daripada pentadbiran negeri.

PRN Johor juga merupakan pilihan raya pertama melibatkan pengundi berusia 18 tahun ke atas, juga pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik.