NUBE gesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang semak semula MoU dengan HSBC demi kepentingan pekerja Malaysia

Delegasi Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menyerahkan memoradum bantahan ke atas MoU antara InvestPenang dan HSBC Bank Malaysia Berhad kepada Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P. Ramasamy. – Foto FB NUBE

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyemak semula memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani dengan HSBC Bank Malaysia Berhad tahun lalu demi kepentingan rakyat dan kaum pekerja negara ini.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, NUBE mengalu-alukan pelabur asing yang beretika dan mematuhi undang-undang serta pelaburan mereka ke Malaysia memandangkan majikan bukan sahaja akan menyediakan peluang pekerjaan, tetapi juga melindungi hak pekerja dan bukan sebaliknya.

Kata beliau, susulan langkah InvestPenang dan HSBC Bank Malaysia Bhd menandatangani MoU pada Oktober lalu, yang bertujuan memberi tumpuan bagi membawa pelaburan langsung asing berkualiti tinggi ke Pulau Pinang dan Malaysia, NUBE telah mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 7 Disember 2021 bagi membangkitkan pendirian membantah tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu.

Solomon berkata, Timbalan Ketua Menteri II, Dr P. Ramasamy yang mempengerusikan mesyuarat itu telah mendengar pandangan dan hujah yang dikemukakan oleh delegasi NUBE.

“Kami menghargai masa yang diluangkan oleh Ramasamy untuk mendengar pendirian kami dan beliau telah berjanji untuk menyemak perkara tersebut kerana tidak mengetahui tentang MoU itu dan beliau memberi jaminan kepada kami bahawa isu pekerja adalah keutamaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” kata beliau dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Ekoran sesi itu, kata Solomon, NUBE menerima surat daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini yang mempertahankan kerjasama mereka dengan HSBC Bank Malaysia, yang membayangkan pihaknya akan terus melaksanakan MoU itu walaupun Kumpulan HSBC dikaitkan dengan perbuatan eksploitasi pekerja dan beberapa skandal kewangan antarabangsa.

Katanya, NUBE menimbulkan bantahan terhadap kerjasama ini kerana tindakan berulang HSBC Bank Malaysia telah menjejaskan hak pekerja di Malaysia.

“Ini termasuklah melanggar undang-undang dan peraturan buruh dengan memberhentikan pekerja, terutamanya ahli-ahli NUBE, semasa wabak pada tahun lepas, dan penutupan banyak cawangan, menjadikannya sukar dan membebankan para pelanggan di negara ini,” kata beliau yang turut merujuk kepada laporan media Kumpulan HSBC telah menjadi pusat kepada beberapa skandal kewangan terbesar, tuduhan pengubahan wang haram, pemusnahan hutan global, di pelbagai lokasi di seluruh dunia.

Oleh itu, tegas Solomon, NUBE amat percaya bahawa demi kepentingan semua pihak, kerjasama antara InvestPenang dan HSBC ini perlu ditamatkan.

“Dengan meneruskan MoU ini, NUBE percaya bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil pendirian menentang hak pekerja dan kebenaran. Mana-mana institusi yang menentang kebenaran tidak akan kekal; semua keuntungan akan hilang, dan kemudaratan yang dilakukan ke atas orang lain akan segera bertimpa ke atas diri sendiri,” kata beliau.

Kata beliau lagi, jika Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk memerangi rasuah, pengubahan wang haram, kleptokrasi dan melindungi hak pekerja, adalah sukar untuk memahami mengapa Kerajaan Negeri mahu bersekongkol dengan institusi pelaburan asing yang mengambil bahagian dalam salah satu episod paling terkenal dalam sejarah pengubahan wang haram dan perbuatan bank itu kini termasuklah pencabulan hak asasi manusia ke atas pekerja-pekerja Malaysia.

Tambah beliau, tidak ada gunanya mengutuk pemimpin atau kerajaan lain atas alasan kleptokrasi dan sebagainya sedangkan Kerajaan Negeri sendiri menggalakkan perkara yang sama dengan melibatkan pelabur asing yang mempunyai sifat yang serupa. Lebih merugikan apabila meminta rakan pelabur yang diselubungi skandal seperti itu melabur di Pulau Pinang, yang merupakan satu tindakan pengkhianatan kepada pekerja dan rakyat di Pulau Pinang.

“Tanggungjawab utama kerajaan yang dipilih adalah untuk melindungi rakyat yang memberi mereka mandat.

“Malaysia berada pada tahap di mana rakyatnya tidak percaya dengan institusi yang dibina untuk melindungi mereka, dan dengan meneruskan MoU ini, ia akan semakin menghakis kepercayaan kepada kerajaan.

“Dengan bersekongkol dengan HSBC, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berisiko kehilangan kredibiliti dan integritinya,” kata beliau.

Solomon menambah, NUBE faham bahawa kesan ekonomi akibat Covid-19 amat dahsyat.

“Walau bagaimanapun, memilih keuntungan material semata-mata berbanding keadilan dan integriti jauh lebih merugikan, kerana ia melemahkan institusi, rakyatnya dan nilai dan prinsipnya,” kata beliau sambil menambah, “dengan membenarkan perkara ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertanggungjawab, sekurang-kurangnya sebahagiannya, atas penderitaan yang disebabkan oleh kekurangan kompas moral HSBC.”

“Oleh itu, adalah perlu bagi semua agensi kerajaan untuk merenung dengan teliti akibat daripada merelakan tindakan eksploitatif bank terhadap pekerja-pekerja Malaysia,” kata beliau.