Saravanan: Gaji minimum baharu RM1,500, dikuat kuasa sebelum akhir tahun

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

KUALA LUMPUR: Pekerja-pekerja di negara ini dijangka menikmati kadar gaji minimum yang baharu – sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Dipetik BH Online, Saravanan berkata walaupun nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan, beliau positif perkara itu boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Katanya, secara peribadi beliau merasakan kadar gaji minimum baharu itu perlu diselesaikan secepat mungkin.

“Kajian yang dilakukan juga sudah selesai. Kita sudah ada angka gaji minimum untuk dibawa sebagai cadangan dan akan diumumkan selepas dipersetujui Jemaah Menteri.

“Secara peribadi juga saya merasakan, gaji minimum sedia ada perlu dinaikkan walaupun ada pekerja swasta diberikan kadar lebih tinggi dari paras itu tetapi dalam kerajaan masih ada,” kata beliau.

Saravanan memberitahu bahawa beliau tidak boleh nyatakan lagi kadar gaji minimum yang dicadangkan Kementerian Sumber Manusia tetapi ia berada di paras sekitar RM1,500 ke bawah.

November lalu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menuntut agar gaji mi­nimum RM1,200 dinaikkan kepada RM1,500 supaya lebih releven dalam keadaan ekonomi sekarang ini.

Sehubungan itu, MTUC melalui Majlis Perundingan Gaji Negara telah menghantar kertas cada­ngan berhubung kenaikan berkenaan kepada Kementerian Sumber Manusia.

Timbalan Presiden MTUC, Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, pihaknya berpandangan gaji minimum yang ada sekarang perlu dinaikkan kerana tidak sesuai dengan tahap yang ada sekarang.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet Tahun 2020.

Berdasarkan Perintah Gaji Minimum 2020, Seksyen 23 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732), menyatakan kadar gaji minimum perlu dibayar kepada pekerja dalam mana-mana kawasan Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran adalah sebanyak RM1,200 sebulan, RM46.15 sehari (enam hari bekerja dalam seminggu), RM55.38 sehari (lima hari) dan RM69.23 sehari (empat hari), manakala bayaran setiap jam adalah RM5.77.

Gaji RM1,100 sebulan terpakai untuk kawasan selain Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran atau harian RM42.31 (enam hari bekerja dalam seminggu), RM50.77 (lima hari) dan RM63.46 (empat hari), manakala bayaran setiap jam adalah RM5.29.

Gaji minimum RM1,200 terpakai di 16 Majlis Bandaraya iaitu Johor Bahru, Iskandar Puteri, Alor Setar, Melaka Bersejarah, Pulau Pinang, Seberang Perai, Ipoh, Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Terengganu, Kuching Utara, Kuching Selatan, Miri, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur dan Seremban.

Ia juga terpakai di 40 Majlis Perbandaran membabitkan enam di Johor, Kedah (4), Kelantan (1), Melaka (3), Negeri Sembilan (2), Pahang (3), Perak (4), Perlis (1), Selangor (6), Terengganu (2), Sabah (3), Sarawak (4) dan Putrajaya.

Mengulas usaha menetapkan gaji baharu itu, Saravanan mengakui, Malaysia sebenarnya agak terlambat memutuskan perkara itu dan kementerian berusaha supaya ia akan direalisasikan menjelang akhir tahun ini.

“Kita agak terlewat dalam perkara ini, namun kementerian sudah menyelesaikan kajian mengenai gaji baharu itu dan akan mengemukakan cadangan mengikut perundangan bagi menaikkan gaji minuman dari RM1,200 dan semuanya kini bergantung kepada Jemaah Menteri,” katanya.

Katanya, walaupun kerajaan tidak menaikkan kadar gaji minimum selama beberapa tahun, ada majikan khususnya swasta mengambil inisiatif memberikan kadar lebih tinggi.

“Ikut perundangan, gaji minimum adalah RM1,200 (kawasan Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran; RM1,100, selain kawasan Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran) tetapi ada majikan memberi kelonggaran untuk memberi gaji lebih tinggi daripada kadar jumlah itu.

“Malah, ada yang memberi gaji minimum tetapi turut memberi beberapa inisiatif lain seperti tempat tinggal serta kebajikan yang lebih terjaga,” kata beliau lagi.