Menteri: Kakitangan awam boleh bayar insurans kenderaan, cukai jalan melalui potongan gaji

Menteri: Kakitangan awam boleh bayar insurans kenderaan, cukai jalan melalui potongan gaji

M. Saravanan mengumumkan kakitangan awam boleh membuat pembayaran ansuran untuk memperbaharui insurans kenderaan bermotor milik sendiri dan cukai jalan tanpa faedah melalui potongan gaji.

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata kakitangan awam boleh membuat pembayaran ansuran untuk memperbaharui insurans kenderaan bermotor milik sendiri dan cukai jalan tanpa faedah melalui potongan gaji.

Inisiatif tersebut boleh membantu penjawat awam yang terkesan dengan musim pandemik COVID-19.

Saravanan berkata, kemudahan tersebut akan dilaksanakan melalui kerjasama Kementerian Sumber Manusia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Angkatan Koperasi Kebangsa Malaysia Bhd (Angkasa) dan sebuah syarikat takaful.

Dipetik BERNAMA, kata beliau, langkah tersebut diambil memandangkan ketika ini premium insurans kenderaan dan cukai jalan adalah cukup mahal dan kakitangan awam akan diberi ruang dan peluang untuk membayar secara ansuran.

Menurut beliau, ia merupakan antara 20 inisiatif khas berimpak besar yang akan dilaksanakan sebagai pencapaian 100 hari pertama seperti yang dikehendaki perdana menteri.

Beliau berkata, kemudahan itu juga mungkin diperluaskan kepada pesara kerajaan setelah perbincangan mengenainya dengan pihak berkepentingan diperhalusi.