Lipat ganda usaha perkukuh integriti, KSN ingatkan ketua-ketua jabatan

Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2022 yang berlangsung Putrajaya, semalam. – Foto ihsan Jabatan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali amat berharap agar setiap ketua jabatan serta seluruh penjawat awam dapat melipatgandakan usaha-usaha memperkukuh integriti dan tadbir urus menerusi pelaksanaan segala inisiatif di bawah pelan antirasuah organisasi yang telah dibangunkan oleh agensi masingmasing.

Merujuk kepada penurunan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang diumumkan bulan lalu, beliau berkata, usaha perlu dilipatgandakan bagi memperkukuh budaya berintegriti.

“Integriti merupakan sesuatu yang melibatkan tiga perkara dalam diri kita. Pertama akal, kedua nafsu dan ketiga ialah perbuatan sama ada melalui lidah atau tangan.

“Sekiranya akal gagal mengawal nafsu, maka lidah dan tangan akan bermaharajalela, lalu terjadilah pencabulan integriti dalam diri,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2022 di Putrajaya, semalam.

Mohd Zuki berkata, perkara itu sekiranya dibiarkan, maka akan menjadi barah yang merebak ke seluruh organisasi dan akhirnya Perkhidmatan Awam kita ini akan dipandang hina dan jelek oleh masyarakat.

Kata beliau, sebagaimana semua sedia maklum, skor CPI Malaysia bagi tahun 2021 ialah sebanyak 48 dengan kedudukan ke-62 daripada 180 buah negara.

Katanya, kedudukan itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding tahun 2020 dengan skor 51 serta berada di kedudukan 57 daripada 180 negara.

“Tahun 2019 pula menyaksikan kedudukan negara berada di tempat terbaik iaitu 51. Antara faktor terbesar peningkatan skor CPI ini ialah penubuhan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah (GIACC) serta pelancaran Pelan Antirasuah Nasional atau NACP,” kata beliau.

Dalam hal yang lain, kata beliau, isu integriti dan tadbir urus dalam kalangan penjawat awam termasuklah agensi penguatkuasaan juga menjadi isu hangat yang sering diperkatakan dalam media massa sama ada media perdana atau alternatif masa kini.

“Justeru itu, meski pun kadangkala kita tahu berita yang disampaikan itu mungkin tidak benar atau masih lagi dalam peringkat siasatan, namun, impaknya kepada imej perkhidmatan awam amat besar sekali,” kata beliau.