KUALA LUMPUR: Seramai 400,000 pekerja asing sudah dibawa masuk ke negara ini setakat ini untuk mengisi pekerjaan di lima sektor utama iaitu pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, perladangan dan pertanian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengisian itu adalah hasil dua dasar iaitu kelonggaran bagi kelulusan pekerja asing dan program rekalibrasi awal dilaksana awal tahun ini.
Namun kata beliau, negara perlu mengisi sekitar 100,000 pekerja lagi.
“Kalau lihat daripada jumlah kuota diluluskan dan rekalibrasi yang sudah mendaftar, kita yakin boleh penuhi keperluan tenaga kerja iniā¦ walaupun tidak mencapai sasaran suku pertama, mungkin akan berlaku pada suku kedua,” kata beliau.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kelapan di Putrajaya, hari ini.
Saifuddin berkata, biarpun kerajaan mempermudahkan pengambilan pekerja, masih ada pihak tidak bertanggungjawab mengiklankan pekerjaan di media sosial.
“Di satu sisi lima sektor ekonomi kritikal mengharapkan pekerja asing, jadi menjadi tugas kerajaan untuk mempermudahkan dari segi polisi.
“Di sisi lain pula, ada juga elemen tidak bertanggungjawab, apabila kita permudahkan, dia bawa masuk dan iklan dalam media sosial, siapa hendak kerja cari mereka dan ini jelas bertentangan dengan dasar kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, kata beliau, seramai 1,120 pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini dari Januari hingga Mei lalu, tidak mempunyai pekerjaan.
Katanya, langkah segera sudah dilakukan bagi mengesan ejen yang membawa masuk pekerja berkenaan selain turut menyenarai hitam majikan yang terbabit.
“Usaha kami ketika ini adalah membantu mereka untuk mendapatkan majikan dan peluang kerja baharu. Ini tumpuan kita dahulu bagi memudah cara mereka yang sudah berada di sini.
“Kita juga tahu siapa ejen dan siapa majikan itu dan kebanyakan pekerja asing ini dibawa masuk bagi segmen kerja pembersihan dan pencucian, ini paling ramai dengan kebanyakannya dari Bangladesh,” katanya.
Kerajaan akan meletakkan mana-mana majikan yang mengambil pekerja melalui pihak ketiga dalam senarai hitam, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
“Kita akan senarai hitam majikan dan ambil tindakan terhadap mana-mana agensi pekerja yang menyumber luar pekerja asing,” katanya ketika dtemui pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa bersama berhubung pengurusan pekerja asing antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia.
Saifuddin menjelaskan pemantauan amalan penyumber luaran dalam pengambilan pekerja asing bukan tanggungjawab Kementerian Sumber Manusia, namun dasar kerajaan sememangnya melarang amalan itu.
Namun ketika ditanya jika tindakan khusus akan diambil terhadap mereka yang terlibat, Saifuddin tidak menjelaskan secara terperinci atau menyebut mana-mana undang-undang khusus yang boleh digunakan.