100 hari pertama Menteri Sumber Manusia: Syabas Steven Sim, kata UNI-MLC

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menyampaikan buku laporan 100 hari pertama beliau kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu. – Foto ihsan FB Steven Sim

Oleh Datuk Mohamed Shafie BP Mammal

PANDANGAN: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), yang mempunyai 106 buah kesatuan gabungan dengan keahlian seramai 450,000 ahli, mengucapkan tahniah dan syabas kepada Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia, yang dengan pendekatan kepimpinan konstruktif dan signifikan tersendiri telah melengkapkan 100 hari pertama dengan penuh gaya dan kejayaan yang telah menyentuh hati banyak pemegang taruh, terutama golongan pekerja.

Sebagaimana telah dijanjikan sejurus selepas dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia pada Disember 2023, Steven Sim telah mengotakan janji dan komitmen beliau untuk mengangkat martabat golongan pekerja di Malaysia.

Dalam tempoh 100 hari pertama, kepimpinan Steven Sim telah membawa sejumlah perubahan lebih cemerlang, bukan sahaja kepada Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), malah kepada golongan pekerja dan gerakan kesatuan sekerja di Malaysia dengan slogan Kerajaan Perpaduan – Malaysia Madani.

Dalam tempoh yang singkat, iaitu 100 hari, beliau telah memperlihatkan satu kepimpinan padu dan bertenaga untuk membawa lebih banyak perubahan positif yang diharapkan oleh pekerja dan kepimpinan kesatuan sekerja.

Tahniah dan syabas Steven Sim. Beliau bukan sahaja aktif dalam menambah baik secara holistik keperluan pekerja, tetapi memperlihatkan bahawa beliau faham, menghayati dan berupaya mendalami isu dan masalah serta perkara yang diperlukan oleh pekerja di pelbagai peringkat tenaga kerja di Malaysia.

Sejumlah inisiatif, program dan dasar yang diumumkan untuk pelaksanaan sebenarnya telah mula membawa sinaran baharu dalam usaha menambah baik kebajikan pekerja-pekerja di negara ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa Steven Sim seorang Menteri yang berjiwa rakyat yang senantiasa mengambil peduli, khususnya hal ehwal kebajikan serta kesejahteraan golongan pekerja. Sejak mengemudi KESUMA, beliau telah menyuntik semangat yang baharu, idea yang baharu dan hala tuju yang baharu selain membentuk hubungan yang baharu dengan para pemegang taruh, mempamerkan sentuhan serta gelombang reach out yang baharu serta senantiasa mengamalkan pendekatan senyum dengan semua lapisan masyarakat.

UNI-MLC melihat pendekatan yang diambil oleh Steven Sim telah mula memberikan keyakinan dalam kalangan pekerja dan kesatuan sekerja. Kami melihat segala perkara yang digerakkan oleh beliau sepanjang 100 hari pertama sebagai satu permulaan yang baik untuk pekerja, rakyat dan negara. UNI-MLC yakin lebih banyak penambahbaikan akan dibawa oleh Kesuma di bawah kepimpinan beliau.

Untuk rekod, antara perkara penting dan signifikan yang telah diumumkan untuk dilaksanakan ialah Perancangan dan Hala Tuju untuk Kesuma pada tahun ini, fokus 3K – meningkatkan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan dalam kalangan pekerja Malaysia, Projek “Skills Passport”, Decent Work dan Gaji Progresif, penambahbaikan Skim Latihan Industri, mengaktifkan semula Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC), menambah peruntukan kewangan atau geran untuk pergerakan kesatuan sekerja dan menambah baik fungsi dan perjalanan Mahkamah Perhubungan Perusahaan. Selain itu, beliau turut mengumumkan beberapa penambahbaikan skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Paling konkrit, beliau telah mengambil pendekatan luar biasa untuk menjalin hubungan yang membina dengan melawat sendiri badan induk kesatuan sekerja termasuk UNI-MLC pada Januari lalu.

UNI-MLC bukan sahaja bangga dengan prestasi yang telah diperlihatkan oleh beliau, malah kagum dengan pendekatan yang telah diambil untuk menambah baik pencapaian dan penyampaian Kesuma sebagaimana diharapkan oleh pekerja-pekerja Malaysia selama ini.

Negara mempunyai lebih 16 juta pekerja, maka satu usaha menyeluruh perlu dilakukan untuk menambah baik kualiti kehidupan mereka dan keluarga masing-masing. Steven Sim telah menunjukkan komitmen padu sepanjang 100 hari pertama. Kami yakin beliau akan meneruskan pendekatan positif itu untuk membaiki kualiti kehidupan para pekerja yang merupakan nadi pembangunan negara.

UNI-MLC akan terus memberikan sokongan padu ke atas kepimpinan Steven Sim untuk memperkenalkan lebih banyak perubahan dan penambahbaikan demi kelangsungan hidup pekerja di Malaysia dan meningkatkan martabat para pekerja.

Nota: Datuk Mohamed Shafie BP Mammal ialah Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)